145 pingat emas yang diraih kontinjen negara pada temasya Sukan SEA yang baharu sahaja melabuhkan tirai beberapa hari lalu telah menerbitkan pelbagai reaksi dari pemerhati sukan dalam dan luar negara.

Bagi rakyat Malaysia, jumlah tersebut satu rekod baharu yang cukup membanggakan. Jika pada 2001 Malaysia meraih gelaran juara keseluruhan dengan kutipan 111 emas, ia melonjak ke 145 untuk edisi 2017.

Bagi kontinjen luar pula, timbul ketidakpuashatian ekoran dominasi Malaysia pada temasya kali ini. Sebagai contoh, delegasi Thailand membuat kenyataan pedas bahawa penganjur sengaja menyenaraikan acara-acara yang didominasi Malaysia untuk mencerahkan peluang negara muncul juara.

Antara sukan yang menjadi ‘lubuk emas’ buat pasukan negara ialah terjun, basikal trek, skuasy, hoki, dan equastrian.

FOTO: MASOC

Mungkin mereka tidak sedar, kesemua acara disebut di atas adalah acara Olimpik kecuali skuasy.

Malaysia jauh lebih ke depan dengan menyenaraikan sukan-sukan ini berbanding beberapa tuan rumah sebelum ini yang memasukkan sukan-sukan seperti renang sirip, sepak bulu raga, vovinam, tarian dan catur bridge.

Jadi, persoalan perlu ditujukan kepada mereka – apakah rantau Asia Tenggara perlu ‘syok sendiri’ dengan sukan-sukan sebegitu?

Malah, ada yang mengkritik tindakan penganjur iaitu MASOC menyenaraikan acara sukan musim sejuk yang tidak mencerminkan budaya rantau Asia Tenggara.

Ia satu kenyataan yang sungguh memalukan. Rantau Asia Tenggara perlu progesif dan maju ke hadapan. Apa yang KL2017 tawarkan adalah satu platform negara-negara Sukan SEA mengetengahkan atlet-atlet acara musim sejuk.

Mereka tidak melihat usaha Malaysia untuk sama-sama membawa Asia Tenggara ‘Bangkit Bersama’ menerusi sukan-sukan utama peringkat dunia. Sebaliknya berpendapat Malaysia hanya mahu memikirkan status juara keseluruhan semata-mata.

Mereka seterusnya mendakwa sukan-sukan subjektif terutamanya acara sukan tempur banyak memberi kelebihan kepada tuan rumah.

Baiklah, apa kata kita ketepikan semua kutipan pingat dari sukan-sukan subjektif dan acara-acara melibatkan penjurian untuk lihat berapa jumlah emas yang dimiliki negara.

Terjun membawa kutipan sebanyak 13 emas, silat (10), gimastik (13), karate (7), wushu (6), figure skating (1), waterski (4), equastrian dressage (3), taekwondo (3), renang berirama (2), muay (2) dan tinju (1). Semunya 65 emas maka jumlah keseluruhan emas yang tinggal adalah 80.

Thailand yang berada di tempat kedua dengan 72 emas hanya akan memperoleh 56 emas jika kutipan berdasarkan ketiadaaan acara subjektif dan penjurian. Vietnam dari 58 emas akan sekadar meraih 33, Singapura (57 ke 49) dan Indonesia yang memungut 38 emas akan berkurangan 16 emas.

Kesimpulannya, Malaysia sememangnya unggul dalam temasya Sukan SEA kali ini baik dengan adanya sukan subjektif mahupun jika kutipan acara tersebut tidak dikira. Kontinjen luar harus mengerti bahawa Malaysia selaku tuan rumah memang mempunyai sedikit kelebihan iaitu dari segi sokongan peminat tempatan – bukannya dengan tuduhan mengatakan penjurian berat sebelah dan sebagainya.

Malaysia memang unggul dalam sukan terjun. Barisan gimnas negara juga mempamerkan persembahan luar biasa untuk menutup mulut pengkritik. Dalam acara sukan tempur, tiada sebarang rungutan melainkan dalam disiplin seni dimana ada bantahan dari juara dunia Indonesia yang tewas kepada duo Malaysia. Mungkin itu sahaja kes terpencil namun secara keseluruhannya, Malaysia layak bergelar juara dengan cara yang adil dan bukannya berat sebelah seperti didakwa.

Jika mereka masih tidak berpuas hati, tunggu sahaja giliran untuk menjadi tuan rumah. Masukkan sebanyak mungkin acara ‘sarkas’ yang langsung tidak membantu meningkatkan mutu sukan rantau Asia Tenggara.

Buat Malaysia, kita stay classy.

 

Kredit Foto: MASOC