Connect with:




Sudah hampir 7 bulan bekas penyerang Sepanyol, Jose Antonio Reyes meninggal dunia ekoran kemalangan jalan raya. Reyes yang pernah bermain untuk Sevilla, Real Madrid, Arsenal dan Atletico Madrid mempunyai tiga orang anak termasuk seorang anak lelaki bernama Jose Reyes Jr.

Jose Reyes merupakan pemain akademi Real Madrid yang baru-baru ini telah meledak empat gol dalam aksi final La Liga Promises yang berlangsung di Abu Dhabi.

Reyes menyertai Real Madrid sebulan selepas kehilangan bapanya. Jelas sekali Reyes memiliki kebolehan seperti bapanya ketika membantu pasukan bawah 13 tahun Real Madrid menewaskan Sevilla dalam aksi final.

Ia satu pertemuan yang cukup beremosi untuk Reyes dimana kedua-dua pasukan tersebut merupakan kelab yang pernah diwakili mendiang bapanya.

Sebelum perlawanan, ketua pasukan Sevilla telah menghadiahkan Reyes jersi Sevilla bernombor 10 sebagai mengenang bapanya.

Selain membantu Real Madrid muncul juara, Reyes juga menerima anugerah pemain terbaik kejohanan (MVP) selepas meledak 8 gol sepanjang kejuaraan berlangsung.