Pasukan hoki kebangsaan kini boleh dikatakan hampir pasti ke Piala Dunia di India tahun hadapan selepas mengesahkan tiket ke suku akhir kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Keputusan tersebut dicapai selepas skuad kendalian Stephen Van Huizen ini membelasah China 5-1 di Pusat Hoki Lee Valley, London pagi tadi.

Razie Rahim menghasilkan dua gol masing-masing pada minit ke-19 dan 27 sementara tiga lagi gol dihasilkan menerusi Faizal Saari seawal minit kedua serta jaringan Najmi Farizal Jazlan (m-12) dan Fitri Saari (m-51).

Malaysia menutup cabaran Kumpulan B dengan menghimpun enam mata untuk berada di tempat ketiga, sekali gus menempah pertemuan kalah mati dengan naib juara Kumpulan A, India.

Turut mengiringi Malaysia dari Kumpulan B adalah Argentina dan England dengan masing-masing akan berdepan Pakistan serta Kanada. Satu lagi aksi suku akhir akan menyaksikan pertembungan antara juara tujuh kali dunia, Belanda dan China.

 

FOTO: FIH