Connect with:




Skuad futsal lelaki negara mengekalkan rekod bersih setelah berjaya memenangi ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018.

Anak buah Chiew Chun Yong mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir semalam setelah mengetepikan Indonesia dengan kemenangan penuh dramatik 7-5 sebelum memastikan misi menebus kekecewaan edisi lalu diteruskan dengan rentak kemenangan apabila berjaya menundukkan Myanmar 3-2 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Yogyakarta pagi tadi.

Kali terakhir Malaysia memungut sembilan mata penuh dari tiga perlawanan yang dilalui adalah pada edisi 2008 namun skuad negara pada ketika itu gagal meneruskan momentum cemerlang apabila sekadar mengakhiri kejohanan di tempat ketiga.

Chun Yong ketika dihubungi memberitahu beliau gembira dengan karakter dipamerkan para pemainnya yang dilihat tenang menepis provokasi daripada penyokong tuan rumah.

“Apa yang mengejutkan adalah pemain kita dapat mengatasi provokasi daripada penyokong Indonesia dan mereka tidak mudah mengalah.

“Semangat juang itulah yang membuatkan saya kagum selain mereka dapat mengikuti segala taktikal yang dirancang dan saya gembira dengan peningkatan yang dipamerkan pemain sepanjang ketiga-tiga aksi namun saya tidak nafikan masih ada ruang yang boleh diperbaiki.

“Apa yang pasti pasukan ini akan terus belajar dan tidak akan berhenti di sini saja,” jelasnya.

Pada aksi pembukaan, skuad negara memperagakan aksi yang cukup meyakinkan apabila tiada masalah membelasah Kemboja 10-0 sebelum melakukan kebangkitan menakjubkan bertemu tuan rumah, Indonesia, apabila bangkit dari ketinggalan 5-4 di awal separuh masa kedua dengan meledak tiga gol bagi mengakhiri perlawanan dalam kelas tersendiri dengan keputusan 7-5.

Malaysia bakal menanti lawan antara Thailand atau Vietnam yang akan membuat perhitungan petang ini bagi menempah satu slot separuh akhir bertemu pasukan negara.

 

Foto : Arena Futsal Malaysia

Sumber : NSTP