Connect with:




Pada era 1980-an negara telah digegarkan dengan kemunculan adik beradik dalam arena sukan badminton, mereka dikenali sebagai Anak-Anak Sidek atau Sidek bersaudara. Kalau dilihat sejarahnya, siapa yang tidak kenal dengan anak-anak Sidek ini yang pernah mengharumkan nama negara dalam sukan badminton suatu ketika dahulu.

Sudah pasti golongan yang lahir pada zaman 1990-an akan mengenali mereka melalui komik atau animasi Anak-Anak Sidek yang sangat popular ketika itu. Nama-nama watak seperti Bun (Misbun), Ajib (Razif), Alan (Jalani), Aman (Rahman), Rasyid (Adul) dan Hj Sidek yang mungkin masih bermain dalam fikiran kita sekarang. Maka jika disebut nama-nama tersebut pasti akan terlintas dalam fikiran kita mengenai badminton, mana tidaknya anak-anak Sidek sangat sinonim dalam arena sukan badminton negara.

Ini semua hasil sumbangan dan jasa Dato’ Hj Sidek Abdullah Kamar yang tegas dalam mendidik anaknya seperti yang kita lihat dalam animasi Anak-Anak Sidek tersebut. Mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa Hj Sidek juga merupakan pemain badminton profesional yang mula bermain secara kompetitif pada usia 21 tahun pada 1957. Ini kerana, beliau merupakan juara peringkat daerah Kuala Langat tiga kali berturut-turut antara 1958-1964, juara Melayu Selangor pada 1960 dan Juara Piala Novis 1964.

Hj Sidek meninggal dunia pada 17 Oktober 2005 usia 69 tahun kerana kegagalan buah pinggang, kencing manis, radang paru-paru dan tekanan darah tinggi. Jasanya tetap akan dikenang sampi bila-bila atas sumbangannya kepada negara.

Dato’ Haji Mohd Sidek bin Haji Abdullah Kamar

Pada 1980-an, Sidek Bersaudara mula membuat kemunculan dan seterusnya menggegarkan arena badminton antarabangsa. Pencapaian yang berjaya dicapai oleh mereka adalah Piala Thomas, Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Terbuka Seluruh England sehinggalah Kejohanan Dunia.

Misbun berjaya memperbaiki pencapaian bapanya dengan menjuarai peringkat kebangsaan antara 1980-1984 dan 1986-1987, naib juara Piala Dunia pada 1982, naib juara Terbuka Seluruh England pada 1986, naib juara Grand Prix Dunia 1988 dan berjaya memenangi Anugerah Olahragawan Kebangsaan  pada 1981 dan 1983.

Manakala Razif dan Jalani pula berjaya membentuk pasangan regu yang mantap apabila berjaya menjuarai Terbuka Seluruh England pada 1982, Juara Grand Prix Dunia pada 1986, 1988, 1989 dan 1991, pingat emas Sukan Komanwel pada 1990, juara Piala Dunia pada 1990 dan 1991, juara Piala Thomas pada 1992 dan menjadi atlet pertama Malaysia memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Barcelona 1992.

atlet pertama Malaysia Razif Sidek dan Jalani Sidek memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Barcelona 1992.
Foto: Sukan Olimpik

Rasyid pula berjaya meraih emas dalam Sukan Komanwel pada 1990 dan 1994, juara Piala Thomas pada 1992, pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta pada 1996, naib juara Terbuka Seluruh England pada 1996 dan memenangi Anugerah Olahragawan Kebangsaan pada 1990, 1991, 1992 dan 1996.

Seterusnya Rahman yang berjaya menjuarai beregu lelaki Terbuka Swiss pada 1988, juara beregu lelaki Terbuka Kanada dan juara beregu lelaki Terbuka Jerman pada 1990 serta Ahli Pasukan Juara Piala Thomas 1992.

 

Servis Sidek (Servis S) diharamkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF)

Tahukah anda bahawa Sidek Bersaudara mempunyai teknik servis unik? Pada penghujung 1970-an, Hj Sidek telah memperkenalkan salah satu idea dan teknik dalam pukulan servis pembunuh yang dikenali sebagai Servis Sidek (Servis S) kepada anak-anaknya yang pasti menggerunkan pihak lawan.

Sebelum ini, teknik tersebut tidak pernah terfikir dan dilakukan oleh sesiapa sahaja dalam arena badminton pada waktu itu. Maka Servis S menjadi igauan kepada setiap bakal berhadapan dengan Anak-Anak Sidek ini. Tetapi teknik ini telah mendapat banyak bantahan kerana mereka menganggap teknik tersebut akan memberi kelebihan kepada satu pihak sahaja.

Tahukah anda bahawa Sidek Bersaudara mempunyai teknik servis unik? Pada penghujung 1970-an, Hj Sidek telah memperkenalkan salah satu idea dan teknik dalam pukulan servis pembunuh yang dikenali sebagai Servis Sidek (Servis S) kepada anak-anaknya yang pasti menggerunkan pihak lawan.

Sebelum ini, teknik tersebut tidak pernah terfikir dan dilakukan oleh sesiapa sahaja dalam arena badminton pada waktu itu. Maka Servis S menjadi igauan kepada setiap bakal berhadapan dengan Anak-Anak Sidek ini. Tetapi teknik ini telah mendapat banyak bantahan kerana mereka menganggap teknik tersebut akan memberi kelebihan kepada satu pihak sahaja.

Servis Sidek yang menjadi kontroversi.
Foto: arkibnegara.blogspot

Sebenarnya cara tidak begitu susah kerana hanya perlu menggunakan teknik kedudukan bulu tangkis dengan betul iaitu dengan cara memegang bulu tangkis dengan kepalanya ke atas dan bahagian bulunya ke bawah. Manakala raket dipegang dalam kedudukan untuk melakukan pukulan ‘backhand’ iaitu dengan memukul bulu tangkis dengan pergelangan tangan dan bukannya dengan hayunan keseluruhan tangan. Servis ini dilakukan dengan menolak raket ke bahagian bulu tangkis.

Apabila pukulan dibuat, bulu tangkis akan berpusing-pusing ke arah gelanggang lawan dan seterusnya akan mengelirukan pihak lawan untuk membalas balik pukulan kerana mereka perlu memastikan kepala bulu tangkis menghadap ke arah mereka sebelum memukulnya. Jika mereka tersilap langkah pukulan balas akan menjadi tidak sempurna atau bulu tangkis akan melekat pada jaring raket.

Akibat mendapat banyak bantahan sehingga servis ini menjadi kontroversi dalam arena badminton antarabangsa ketika itu, maka pada Mei 1981, England dan Denmark mencadangkan supaya pindaan dibuat dan Servis S diharamkan. Tetapi cadangan itu dibantah oleh Malaysia dan Indonesia.

Tetapi setahun kemudian pada Mei 1982, semasa mesyuarat BWF sekali lagi isu ini diperdebatkan. Akhirnya pada 1 Julai 1982, keputusan telah dibuat dan Servis S diharamkan setelah majoriti negara menyokongnya. Itulah penangan Servis S yang pernah menjadi kontroversi dalam arena badminton dunia.