Pahang mengambil alih teraju Liga Perdana apabila mengutip mata penuh semalam dengan mengumpul 19 mata, satu mata di depan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kurang satu perlawanan. Sime Darby kekal di tangga ketiga apabila sekadar mencatatkan keputusan seri.

Di Stadium Temerloh, Pahang meraih kemenangan keenam liga dengan menang besar 5-1 ke atas Majlis Perbandaran Muar FC (MP Muar). Ketinggalan seawal minit ke-15 jaringan Mohd Alafi Mahmud, Pahang bangkit dengan lima gol bermula dengan gol Mohd Hazuan Daud sebelum tamat babak pertama.

Minit ke-51, Mohd Faizol Hussin menjaringkan gol kedua Tok Gajah diikuti jaringan pemain import, Boris Kockin pada minit ke-74. Dua minit kemudian, giliran penyerang sensasi Pahang, Azamuddin Akil menambah derita MP Muar dengan gol keempat. Eduard Sakhnevich menamatkan pesta gol skuad bimbingan Dollah Salleh dengan gol kelima pada minit ke-90.

Sime Darby FC pula diikat dengan keputusan 1-1 oleh pelawat, Pos Malaysia di Stadium MP Selayang. Pos Malaysia mengikat perlawanan pada minit ke-65 menafikan jaringan awal Sime Darby oleh Razali Umar Kandasamy dan dengan keputusan ini, Sime Darby semakin jauh ketinggalan di kedudukan ketiga liga dengan 14 mata.

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) terus gagal meraih kemenangan di laman sendiri apabila tumbang 2-3 kepada NS Betaria di Stadium Sultan Ibrahim, Muar. Gol tuan rumah dijaringkan oleh Zulzairi Idzwan Abdul Rashid pada minit ke-55 dan Mohd Zulhisyam Safian (65’). NS Betaria memperoleh gol menerusi jaringan P. Haresh (6’), C. Premnath (10’) dan Mohd Saufi Ibrahim (63’).

Pertembungan antara pasukan dari Utara dan Selatan menyaksikan Perlis dan Johor terpaksa berpuas hati dengan berkongsi mata setelah seri 3-3 di Stadium Utama Negeri, Kangar. Mohd Munir Amran muncul penyelamat Jengking dengan gol minit ke-90 yang turut menjaringkan gol pada minit kelapan. Satu lagi gol dijaringkan pemain import, Murial Juan Orlando (45’). Gol Singa Utara adalah jaringan Lamin Conteh (42’ dan 65’) dan Mohd Khairul Ramadhan (57’).

ATM akan turun menentang Universiti Sains Malaysia (USM FC) pada Isnin ini dan bakal merubah kedudukan pendahulu sekali lagi.

Sementara itu, satu aksi Liga Super turut berlangsung semalam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, menyaksikan T-Team menang 1-0 ke atas Sarawak hasil jaringan Mohd Faiz Subri pada minit ke-68 seterusnya melonjak ke kedudukan kedua liga.