Mohd Amirul Ariff Musa mencatatkan masa kedua terpantas dalam kategori Underbone 115cc, Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) 2012 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Penbay, Taiwan hari ini.

Pelumba pasukan Pachie Yuzie Honda Racing itu mencatatkan masa 2’02.209s di pusingan 9, hanya 0.5 saat sahaja di belakang Rey Ratukore dari pasukan Nissin R9 KYT Federal Oil BRT yang mencatatkan masa 2’01.709s.

Seorang lagi pelumba dari Malaysia, Ahmad Afif Amran dari pasukan CKJ Yamaha Racing menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 2’03.109s di hadapan pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Affendi Rosli yang mengakhiri sesi latihan dengan catatan masa terbaiknya 2’03.608s.

Amirul yang kini berada di kedudukan keenam keseluruhan selepas mengutip 79 mata, memberitahu pasukannya sukar pada mulanya untuk menetapkan saspensi yang betul untuk jenteranya, sesuatu yang penting apabila berlumba di litar teknikal seperti di Penbay ini.

Namun selepas mengkaji data mereka berjaya menemui tetapan yang betul dan hasilnya dapat dilihat dengan posisi Amirul di akhir sesi latihan tersebut. Amirul bersama pasukannya perlu bekerja keras untuk mengatasi kekurangan pecutan apabila keluar dari selekoh terakhir, suatu faktor yang mungkin akan menyukarkan mereka untuk mencatatkan keputusan yang baik di sini.

Pendahulu keseluruhan kategori ini, Hadi Wijaya dari pasukan Yamaha Yamalube KYT R9 Tunggal Jaya berada di posisi kelima terpantas dengan catatan masa 2’03.690s. Pelumba Indonesia itu akan meraih kejuaraan Underbone 115cc keduanya sekira beliau berjaya menamatkan perlumbaan di posisi yang diperlukan.

Dalam kategori Piala Asia Dream, pelumba Australia, Joshua Hook menduduki tempat pertama selepas mencatatkan masa 2’00.360s diikuti oleh pelumba Jepun, Hiroki Ono yang meencatatkan masa 2’00.703s.

Pelumba negara, Fitri Ashraf Razali gagal menduduki kelompok ketiga terpantas apabila catatannya 2’01.271s gagal mengatasi masa yang dicatatkan oleh pelumba Thai, Apiwat Wongthananon yang merekodkan masa 2’01.217s.