Pandangan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa tentang kemampuan skuad kebangsaan untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki wajar diambil sebagai satu cabaran bukanlah kritikan. Selaku orang nombor dua dalam FAM, Annuar hanya meluahkan pendapat peribadinya berkenaan skuad kebangsaan. Cuma, mungkin cara dan mediumnya tidak kena.

Tidak mahu diheret ke dalam perang mulut yang berpanjangan, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal bertindak bijak dengan enggan mengulas panjang berkenaan kritikan tersebut malah menyerahkan hal ini kepada pengurus, Datuk Subahan Kamal. Rajagobal cuma menyatakan yang dia sedikit terkejut kerana kritikan itu hadir dari orang dalam FAM sendiri.

Rajagobal turut menjelaskan yang dia tidak mencari alasan dan meminta penilaian dilakukan sekiranya skuad bimbingannya gagal melepasi pusingan kelayakan Piala Asia 2015 yang dijangka bermula tidak lama lagi.

“Saya tidak menggunakan beberapa pemain terbaik saya sejak tewas ditangan Singapura di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia.

“Selepas kelayakan Piala Dunia di Singapura, saya telah merancang persiapan menghadapi Piala AFF, cuma ia belum mencapai kemuncaknya. Saya banyak memberi peluang kepada pemain baru mewakili negara buat kali pertama, jadi adalah sukar untuk mereka mendapat keserasian,”  jelasnya lagi.

Menurut Rajagobal lagi, dia kini sudah memiliki lebih kurang 50 pemain hasil beberapa perlawanan persahabatan terkini dan misinya adalah untuk memiliki banyak pilihan pemain yang boleh dipanggil bila-bila masa untuk mewakili negara sekiranya sesuatu berlaku pada pemain pilihan utama.

Proses menguji pemain baru akan berakhir dalam beberapa bulan lagi sebelum Rajagobal dapat memastikan barisan terbaik untuk ke Piala AFF penghujung November nanti. Selepas berakhir Piala Malaysia, ruang beberapa minggu sebelum bermula kejohanan bakal dipergunakan sebaiknya oleh skuad kebangsaan.

Sementara itu, Rajagobal telah menyenaraikan 24 pemain bersama beberapa muka baru untuk aksi persahabatan menentang Sarawak pada 24 Mac ini di Stadium Negeri, Kuching. Antara muka baru yang tersenarai kali ini adalah Azamuddin Mohd Akil (Pahang), Alto Linus (Sabah), Muhd Afiq Azmi (Kuala Lumpur) dan Mohd Zulharis Mohd Nor (PKNS) disamping memberi peluang semula buat Syed Adney Syed Hussein (Sabah).

Semua pemain diminta melaporkan diri pada 19 Mac dan akan menjalani latihan sehingga 28 Mac depan. Walaupun ada suara yang kurang berpuas hati dengan aksi persahabatan seperti ini, namun Rajagobal mengakui sukar buat FAM menyediakan perlawanan kelas A dan memaklumkan bahawa kebangsaan dijadualkan menentang Singapura dalam dua aksi persahabatan Jun nanti.