Connect with:




Tekanan menggunung bakal dihadapi oleh skuad kendalian Park Hang-Seo selepas seorang wartawan Vietnam yang membuat liputan amat terkejut dengan situasi fanatik penyokong Harimau Malaya yang sanggup tidur di Stadium malam kelmarin untuk mendapatkan tiket pada aksi final pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dijual pagi semalam.

Bukan itu sahaja, pemain antarabangsa Vietnam, Vo Huy Toan turut meluahkan amaran keras kepada pasukannya untuk kekal tenang dan fokus berdepan sorakan daripada penyokong Malaysia nanti.

Dia yang pernah mengalami situasi ngeri ketika separuh akhir pertama Piala AFF, empat tahun lalu menegaskan suasana yang sama bakal berlaku di Bukit Jalil esok berdasarkan kapasiti stadium yang boleh memuatkan lebih 80, 000 penonton.

“Ketika itu, saya dan rakan sepasukan terkejut dengan tekanan dahsyat yang dipamerkan dari tempat duduk penonton.

“Sorakan dan nyanyian mereka menaikkan semangat pasukan dan sememangnya memberi tekanan kepada Vietnam. Saya tidak pernah bermain di bawah tekanan berat seperti itu, termasuk beberapa rakan sepasukan yang lain.” katanya seperti yang dilaporkan media Vietnam, Zing News.

Namun, Huy Toan tetap bersikap optimis pasukannya akan mempamerkan persembahan cemerlang setelah mengekalkan rekod tanpa kalah dan pernah menundukkan Malaysia 2-0 pada aksi peringkat kumpulan di Hanoi, bulan lalu.

Foto: Bongdaplus