Kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain sudah bersedia untuk mendapatkan khidmat pertahanan Brazil, Dani Alves.

Kelab milik Qatar itu dijangka akan membuat sidang media khas di Parc des Princess sebelum naib juara liga Perancis musim lalu ini berlepas ke Amerika Syarikat bagi perlawanan pra musim.

Menurut laporan dari Le Parisien, pemain berusia 34 tahun itu sudah melepasi ujian perubatan di pbu kota perancis dan akan menandatangani perjanjian selama dua tahun.

Alves menjadi pemain bebas dari kontrak selepas meninggalkan juara Itali Juventus yang turut dibantunya mara ke final Liga Juara-Juara musim lepas.

Sebelum ini, dia dijangka akan kembali beraksi di bawah kendalian bekas jurulatihnya Pep Guardiola ketika mereka bekerjasama di Barcelona dahulu.

Kejayaan PSG memintas Pep yang kini pengendali di Manchester City dianggap satu bonus.

Setakat ini, Pemain yang sudah berjaya ditawan oleh PSG ialah pemain pertahanan kiri Yuri Berchiche dari Real Sociedad dengan yuran perpindahan 14 juta euro (RM68.99 juta).