Connect with:




Pasukan dari alumni SM Sains Tengku Abdullah (SEMESTA), ASTArs 1 muncul juara edisi pertama Kejohanan Bola Jaring Veteran Alumni SBP yang berlangsung semalam di Stadium Juara Bukit Kiara.

Dalam aksi final, ASTArs 1 membenam cabaran pasukan Puteri II dari Persatuan Alumni Sekolah Seri Puteri untuk meraih piala pusingan, pingat dan wang tunai sebanyak RM2500 menerusi kemenangan 12-6. Lebih manis, dua pemain ASTArs, Azlin Ismail dan Azlina Nasir masing-masing dinobatkan sebagai pemain terbaik dan penjaring terbaik kejohanan. Dua lagi anugerah individu dimenangi oleh pemain Puteri II iaitu Suriana Rahim (penyerang terbaik) dan Haliza Mohamad (pertahanan terbaik).

Selaku naib juara, Puteri membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1500 sementara tempat ketiga yang menawarkan wang tunai RM1000 diraih pasukan Srikandi Asputra iaitu Alumni SMS Tuanku Syed Putra.

Lebih 350 pbekas pelajar SBP berumur 38 tahun dan ke atas menyertai kejohanan ini termasuk satu pasukan jemputan dari Persatuan Peajar Maktab Rendah Sains Mara Se-Malaysia (ANSARA) dengan peserta paling tua direkodkan ialah berusia 53 tahun. Antara alumni yang menyertai kejohanan ini adalah alumni SHAH Pekan selaku pengajur, Sekolah Seri Puteri, SMS Tuanku Jaafar, Kolej Tunku Kursiah, SMS Machang, SMAP Kajang, SMS Johor, SMSAH, Seolah Tun Fatimah dan Ansara Kuantan.

Pengarah kejohanan, Nurhaiza Mohamed Harith berkata acara ini dianjurkan bagi mengukuhkan hubungan sesama bekas pelajar SBP selain mengembalikan nostalgia di zaman persekolahan.

“Dalam masa yang sama, kejohanan ini memberi peluang untuk golongan wanita seperti kami menjaga kesihatan menerusi permainan bola jaring” tambahnya.

Acara turut dimeriahkan dengan kehadiran Presiden Alumni SHAH Pekan, Datuk Remie Arman Musa serta empat pemain bolajaring kebangsaan yang memenangi pingat emas Sukan SEA tahun lalu iaitu, Nur Syafazliyana, Nur Fariha, Pow Mei Foong dan Norashikin Kamal Zaman.

Dalam pada itu, Remie memberitahu pihaknya akan meneruskan kejohanan tersebut pada tahun depan dengan penyertaan yang lebih besar.

“Mungkin selepas ini kita akan buka kategori senior dan junior selepas melihat sambutan hangat yang diberikan tahun ini” katanya pada majlis penutup semalam.

Dalam perkembangan sama, Alumni SHAH Pekan pada September depan akan menganjurkan Kejohanan Hoki Alunni SBP yang bakal dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq.