Connect with:




Seiring dengan penajaan syarikat pembangunan hartanah, BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) terhadap Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP),  syarikat meneruskan inisiatif membangunkan bakat-bakat bola sepak di seluruh negeri Kedah di mana Alor Setar dipilih sebagai destinasi selanjutnya bagi penganjuran Klinik Bola Sepak BDB Land – NFDP siri ketiga.

Sekolah Kebangsaan Mergong, Alor Setar akan bertindak sebagai sebagai lokasi penganjuran dan bakat-bakat muda berumur enam hingga dua belas tahun di sekitar daerah tersebut dijemput untuk turut serta di dalam klinik kendalian barisan kejurulatihan NFDP secara percuma.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, Mohamad Fauzi Harun berkata penganjuran klinik berkenaan seiring dengan aspirasi syarikat yang ingin membantu bakat-bakat muda di seluruh negeri dan menyumbang semula kepada masyarakat melalui inisiatif dengan mengajar teknik-teknik asas bola sepak dengan betul dan sistematik.

“Tidak dinafikan lagi Kedah merupakan “lubuk” pemain-pemain bola sepak yang berbakat dan banyak telah mewakili negara di peringkat antarabangsa. Oleh itu, pihak BDB Land komited dalam membantu memperkasakan pembangunan sukan ini disamping berkongsi manfaat bersama rakyat-rakyat Kedah sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat.

“Oleh itu, klinik-klinik yang dianjurkan secara percuma ini akan dianjurkan di seluruh pelusuk negeri Kedah dan diharap agar bakat-bakat negeri Kedah dapat memanfaatkan peluang tersebut dalam mengasah skil mereka,” ujarnya.

Di samping itu, Ketua Sektor Hartanah BDB Land Sdn. Bhd., Iskandar Dzulkarnain Ramli turut menjelaskan mereka yang hadir pada klinik tersebut bukan sahaja boleh mengikuti klinik bola sepak sahaja malah juga terdapat promosi yang turut dijalankan.

“Program klinik di Sekolah Kebangsaan Mergong akan bermula dari jam 8 pagi dan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka dalam masa yang sama dapat meluangkan masa melihat tawaran dan promosi terbaru daripada projek perumahan BDB Land Sdn. Bhd.,” jelasnya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar pula, pihaknya melaungkan penghargaan terhadap inisiatif BDB Land Sdn. Bhd. yang sememangnya cukup sinonim dengan pembangunan sukan bola sepak.

“BDB Land Sdn. Bhd. bukan nama asing dalam pembangunan sukan secara khususnya bola sepak. Komitmen berterusan yang diberikan sangat kami hargai kerana langkah yang diambil oleh pihak syarikat yang bersetuju untuk membantu di peringkat akar umbi memberikan makna besar kepada anak-anak muda ini yang memerlukan sokongan berterusan daripada pihak korporat,” jelas Safirul.

Klinik Bola Sepak BDB Land – NFDP merupakan inisiatif syarikat pembangunan hartanah tersebut melahirkan bakat-bakat pelapis bola sepak Malaysia menerusi perjanjian penajaan selama setahun bagi menjayakan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) khususnya di Kedah.

Penajaan tersebut menyaksikan BDB Land, yang merupakan anak syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB) diiktiraf sebagai Rakan Zon Rasmi NFDP di Zon Utara selama setahun bermula pada Januari tahun ini dan klinik tersebut telah dijalankan di dua buah daerah sebelum ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (Kubang Pasu) dan Sekolah Kebangsaan Sungai Layar (Sungai Petani).