Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mara ke suku akhir Kejohanan All England dengan mengalahkan pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus di Birmingham, England awal pagi ini (waktu Malaysia).

Chong Wei selaku pemain pilihan pertama kejohanan diberi tentangan sengit oleh pemain lawan  sebelum menang 23-21, 21-18 dalam masa 45 minit.

Chong Wei yang juga juara bertahan All England itu akan bertemu perseorangan Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka pada peringkat suku akhir nanti.

Kecemerlangan itu diteruskan seorang lagi perseoranga negara Liew Daren apabila menewaskan pemain tuan rumah, Rajiv Ouseph dengan 21-15,  21-10 sekali gus menempah slot di peringkat suku akhir.

Nasib tidak baik pula dialami oleh Chong Wei Feng apabila tewas mudah kepada pemain nombor dua dunia, Lin Dan dengan keputusan 21-13, 21-16.

Sementara itu beregu utama negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila tindakan Kien Keat yang melambat-lambatkan permainan ketika permainan terikat di kedudukan 20-20 pada set ketiga menyebabkan pengadil perlawanan mengeluarkan kad merah kepada Kien Keat dan memberi mata ke 21 kepada pasangan China Hong Wei dan Shen Ye. Beregu negara tumbang dengan  keputusan 21-12 17-21 dan 20-22
Satu lagi pasangan beregu, Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd FairuzizuanMohd  Tazari tewas kepada Mohammad Ahsan  dan Bona Septano dari Indonesia dengan 22-24, 13-21