Connect with:




Bekas penjaga gol yang juga lagenda Manchester United, Peter Schmeichel mempertahankan penjaga gawang Liverpool, Alisson Becker dan mengatakan pemain itu tidak perlu mengubah gaya permainannya meskipun melakukan kesilapan memalukan ketika menentang Leicester City.

Pemain Brazil berusia 25 tahun itu tiba di Anfield dengan tanda harga 67 juta pounds dari Roma dan mempamerkan aksi cukup meyakinkan sepanjang tiga perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris.

Namun kesilapan Alisson pada pertengahan separuh masa kedua ketika menentang Leicester City di Stadium King Power baru-baru ini menyaksikan Liverpool bolos buat pertama kalinya setelah mengharungi empat perlawanan liga.

Schmeichel berkata Pengendali The Reds, Jurgen Klopp memang sentiasa mahukan penjaga gawang yang kerap menggunakan kaki dan Alisson adalah pelengkap kepada taktikal pengendali dari Jerman itu.

“Ini adalah gaya bola sepak baru malah saya rasa ramai pengurus sekarang menginginkan penjaga gol yang boleh mengawal bola menggunakan kaki dengan baik dan saya harap Alisson tidak mengubah corak permainan beliau selepas ini.

“ Saya yakin itu bukan kali pertama beliau cuba menggelecek pemain lawan jika tidak bagaimana beliau mempunyai keberanian untuk melakukan itu cuma nasib tidak menyebelahinya dalam perlawanan itu”, ulas lagenda Manchester United itu.

Pada masa sama Schmeichel turut menasihatkan Alisson agar tidak terlalu melayan apa yang dikeluarkan media-media sebaliknya kekal fokus kepada bola sepak kerana kejohanan baru saja bermula dan perjalanan masih panjang.