Al-Ikhsan Sports, penjual barangan sukan ternama di Malaysia, kini bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM). Sebuah majlis tandatangan telah diadakan di cawangan terbaru Al-Ikhsan di Melawati Mall hari ini. Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Pengurus Besar Al-Ikhsan, Puan Norita Md Noor dan presiden PFAM, Hairuddin Omar itu turut dihadiri oleh rakan media, para tetamu serta Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia ada sebuah persatuan yang ditubuhkan bagi memberi sokongan dan nasihat dari segi perkembangan kerjaya kepada para pemain bola sepak professional Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 2009, dan telah bergabung dengan organisasi bola sepak terkemuka dunia FIFPro sejak 2013, PFAM memberi fokus terhadap kebajikan pemain-pemain bola sepak profesional negara.

Kerjasama di antara dua pertubuhan yang berjaya ini adalah bertujuan untuk menunjukkan sokongan terhadapat pemain bola sepak Malaysia, serta industri sukan tanah air.

Sebagai seorang usahawan yang berjaya di Malaysia, Tuan Haji Ali telah berjaya membina empayar beliau daripada hanya sebuah kedai kecil berukuran 150 kaki persegi di Holiday Plaza, Johor Bahru, “Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan PFAM. Seperti yang diketahui ramai, bola sepak adalah salah satu daripada sukan utama di negara ini. Oleh itu, dengan kerjasama ini, kami ingin menzahirkan sepenuh sokongan terhadap pemain-pemain bola sepak negara yang sering mengharumkan nama Malaysia dengan pencapaian-pencapaian yang mengagumkan.”

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Al-Ikhsan Sports kerana telah memberi peluang kepada kami untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat yang terkemuka. Kami berharap untuk bersama-sama dengan Al-Ikhsan dalam merealisasikan impian dan harapan kami buat pasukan bola sepak Malaysia.” Ujar Hairuddin Omar, selaku presiden Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia.

Kini memasuki tahun ke-26 sejak pertubuhannya sebagai sebuah syarikat, Al-Ikhsan telah berjaya menambat hati penggemar sukan di Malaysia, kerana adanya pelbagai variasi barangan sukan yang berkualiti tinggi. Oleh itu, mereka sedang berusaha untuk meningkatkan saham pasaran Al-Ikhsan bagi segmen bola sepak.

“Dengan kerjasama ini, kami berharap untuk membawa nama Al-Ikhsan ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya di kalangan peminat-peminat bola sepak di Malaysia. Ini juga merupakan salah satu daripada inisiatif kami untuk memperluas pasaran kami di serata negara, dan mungkin juga ke negara-negara antarabangsa, di masa hadapan,” kata Ellisya Abdullah, Pengurus Kanan Pemasaran Al-Ikhsan Sdn. Bhd.

“Ahli-ahli PFAM sentiasa mengalu-alukan kerjasama seperti ini, kerana ia bakal membantu persatuan ini untuk terus memberikan sokongan terhadap para pemain bola sepak Malaysia,” tambah Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM.

Al-Ikhsan dan PFAM berharap agar kerjasama ini dapat membawa kejayaan yang lebih besar kepada kedua-dua syarikat ini.