Connect with:




Saingan Liga Perdana Inggeris hampir sampai ke penghujung dengan berbaki satu perlawanan untuk ditamatkan dan juara akan ditentukan selepas tamat perlawanan terakhir.

Kini tumpuan terarah kepada dua pasukan yang bersaing sengit untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim ini iaitu penyandang juara, Manchester City dan pencabar utama, Liverpool.

City kini berkelebihan satu mata dihadapan Liverpool dan perlu menang perlawanan terakhir untuk merangkul dan mengekalkan kejuaraan liga yang dimenangi musim lepas.

Lawan terakhir City adalah Brighton & Hove Albion di tempat lawan. Brighton dalam perlawanan terakhir, mereka berjaya mengikat Arsenal 1-1. Itu mungkin satu cabaran untuk skuad bimbingan Pep Guardiola. Walau bagaimanapun, Brighton tidak pernah menang dalam lima perlawanan terakhir liga. Ia juga satu peluang keemasan kepada City untuk memenangi perlawanan terakhir itu.

Bagi Liverpool pula, mereka akan melayan kunjungan Wolverhampton Wanderers di stadium keramat mereka di Anfield. Ia satu kelebihan besar kepada Liverpool kerana bermain di hadapan penyokong sendiri, namun mereka perlu waspada ancaman daripada Wolves kerana mereka dianggap pemusnah pasukan top 6 musim ini. Liverpool juga tersingkir dari Piala Liga apabila tewas kepada Wolves.

Selain daripada perebutan juara, perebutan kasut emas juga menjadi tumpuan apabila Mohamed Salah kini semakin hampir untuk mengekalkan kemenangannya selepas mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 22 gol diikuti penyerang City, Aguero, penyerang Arsenal, Aubameyang dan penyerang Liverpool, Sadio Mane dengan 20 gol.

Perebutan sarung tangan emas juga tidak kurang hebatnya apabila dua pemain kelahiran Brazil bersaing sesama sendiri iaitu Alisson Becker (Liverpool) dan Ederson (City). Mereka kini terikat dengan 20 clean sheet dan perlawanan terakhir bakal tentukan siapa lebih hebat mengekang asakan lawan.

Perlawanan terakhir dijadualkan pada Ahad, 12 Mei jam 10 malam waktu Malaysia. Semua perlawanan akan dijalankan secara serentak.

Foto : Sportskeeda