Datuk K Rajagobal mahu pemain bersedia sahut cabaran menentang pasukan-pasukan Timur Tengah

Datuk K Rajagobal mahu pemain bersedia sahut cabaran menentang pasukan-pasukan Timur Tengah

 

Pengendali skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagobal mengakui cabaran sukar menanti barisan pemainnya pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 nanti.

Malaysia diundi bersama-sama dengan Yemen, Bahrain dan Qatar dalam kumpulan D . Menyedari kesemua lawan dari Timur Tengah ini merupakan antara pasukan yang semakin meningkat naik di Asia, FAM telahpun mengatur beberapa perlawanan persahabatan menentang beberapa negara Arab seperti Iraq, Oman dan Jordan bagi memantapkan lagi pasukan.

“Sememangnya tahap bolasepak di rantau Asia seperti Timur Tengah sangatlah jauh jika dibandingkan dengan tahap di rantau Asia Tenggara. Namun saya tetap mahukan pemain beraksi dengan baik dan beri cabaran kepada pasukan-pasukan ini kerana inilah peluang terbaik untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa kita mampu berhadapan dengan pasukan-pasukan terkuat Asia” kata Rajagobal.

“Saya sendiri akan ke Bahrain yang kini sedang menganjurkan Piala Teluk (Gulf Cup of Nation) untuk meninjau kekuatan dan kelemahan pasukan-pasukan Timur Tengah ini” tambahnya lagi.

Rajagobal akan mengumpulkan pemainnya pada 26 Januari ini sebelum berlepas ke Dubai untuk perlawanan persahabatan menentang Iraq pada 1 Februari. Malaysia kemudiannya akan berdepan Qatar di Doha 5 hari selepas itu untuk aksi pertama kelayakan Piala Asia 2015.

Menyentuh mengenai gambaran awal skuad kebangsaan untuk kempen kali ini, Rajagobal berkata masih terlalu awal untuk menilai kerana kempen liga masih baru sahaja bermula.

Namun Rajagobal menjangkakan beberapa muka baru akan diserap masuk dalam pasukan kali ini.

“Akan ada muka baru dipanggil. Bagi pemain yang sedang berada diluar seperti Nazmi Faiz dan Fakri Saarani, kita akan tetap pertimbangkan juga.

Rajagobal bagaimanapun masih berteka-teki untuk mengambil kelompok pemain-pemain senior seperti yang disuarakan penyokong tempatan baru-baru ini.

“Bukannya niat saya untuk menutup peluang mereka. Ya, tak dinafikan mereka menunjukkan persembahan hebat di kancah liga namun perlu disedari bahawa perlawanan liga dan perlawanan antarabangsa sangat-sangat berbeza.

“Kelompok pemain-pemain berusia ini telahpun merasai Piala Asia tetapi lihat apa hasilnya? Lebih baik kita gunakan pemain muda yang mampu bersaing untuk tempoh masa yang lebih panjang.

“Saya akan lihat dan nilai dahulu persembahan pemain-pemain sebelum mengumumkan senarai akhir” kata Rajagobal lagi.