Connect with:




Gara-gara protes keganasan geng ‘baju kuning’ akibat peningkatan kos sara hidup di Perancis, empat perlawanan Ligue 1 yang berlangsung minggu ini termasuk pertembungan Derby antara kelab kendalian Thierry Henry, Monaco dan Nice terpaksa ditangguhkan.

Menerusi kenyataan Liga Perancis (LFP) berkata, selain perlawanan di Stade Louis II dibatalkan, aksi malam minggu antara Saint-Etienne dan Marseille dan Angers dan Bordeaux turut ditunda ekoran arahan yang dikeluarkan daripada kerajaan di Mediterania ‘dengan kerjasama’ pihak berkuasa tempatan.

Perkembangan sama menyaksikan kunjungan Lyon ke Toulouse yang dijadual esok juga ditunda atas faktor keselamatan dan perlawanan Paris Saint- Germain dengan Montpellier juga menerima arahan yang sama.

Terdahulu, protes besar-besaran terhadap kenaikan cukai diesel berlaku di sekitar Perancis oleh pihak penunjuk perasaan yang bertindak menyekat beberapa jalan.

Satu lagi demonstrasi bakal dilancarkan hujung minggu ini biarpun pihak berkuasa telah menahan seramai 412 orang pada Sabtu lalu akibat demonstrasi tersebut bertukar menjadi ganas.

Dalam pada itu, kemungkinan kesemua perlawanan liga bakal ditunda hingga tarikh yang ditetapkan.

Foto: France 24