Kali terakhir Perak layak ke separuh akhir Piala Malaysia adalah pada tahun 2007 dan seterusnya melangkah ke pentas akhir namun dikecewakan Kedah dengan keputusan 3-0. Tahun berikutnya, mereka terkandas di peringkat suku akhir di tangan Kedah dengan argegat 5-0. Tahun 2009 dan 2010 mereka cuma menamat aksi di peringkat kumpulan.

Bagi kempen 2011, dibuka dengan cemerlang oleh skuad Seladang. Dengan rekod tanpa kalah dan juara kumpulan, Perak telah layak ke suku akhir ketika ini. Namun, Perak telah dikejutkan Selangor yang baru terjaga dari tidur dengan keputusan 3-1 dalam aksi pertama di Stadium Shah Alam, Isnin lalu.

Kini, aksi di Ipoh Jumaat ini perlu digunakan dengan sebaiknya oleh anak didik Norizan Bakar untuk menang sekurang-kurangnya dua gol tanpa bolos bagi meneruskan saingan.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan 4 pemain lain yang sudah bebas dari penggantungan sudah pasti menjadi pertaruhan terbaik untuk mereka ketika ini. Dengan rekod 9 gol dalam aksi Liga Super, Akmal Rizal mungkin adalah jawapan buat Norizan Bakar untuk mencari gol.

“Saya sudah bersedia untuk diturunkan dan yakin mampu menidakkan impian Selangor untuk ke separuh akhir. Namun, terpulang pada jurulatih untuk menurunkan sesiapa yang terbaik untuk memburu kemenangan,”.

Ditanya mengenai aksi rakan sepasukan yang terpaksa beraksi tanpa beliau dan 4 rakan yang digantung, Akmal memuji mereka kerana beraksi baik dan berjaya mengisi kekosongan yang ada.

“Failee terutamanya bukan sahaja memberikan impak yang positif buat kami malah sentuhan penyudahnya memang diperlukan pasukan kami,”

“Tewas di tangan Selangor mungkin adalah disebabkan faktor umur dan pengalaman mereka. Mereka kelihatan gagal menyerap tekanan dalam perlawanan di peringkat yang lebih besar,” tambah beliau lagi.

Sementara itu salah seorang penyokong Perak yang mahu dikenali sebagai Ray Rizuwan berkata, tiada yang mustahil buat pasukannya dan peluang untuk layak itu masih ada. Yang penting pemain perlu main bersungguh-sungguh dan penyokong juga perlu memberi sokongan sehingga wisel penamat.

“Pada pandangan saya, gandingan Akmal Rizal dan Failee diperlukan ketika ini dengan Arul (Shahrulnizam Mustapa) bermain di tengah. Mungkin Nasril Nourdin juga diperlukan. Apa-apa pun, semuanya terpulang pada perancangan jurulatih,” katanya.

“Saya jangkakan Perak menang 2-0 di Ipoh,” tambahnya lagi.

Buat penyokong Perak, Akmal mengharapkan mereka dapat memenuhi segenap ruang stadium dan memberi sepenuh sokongan buat para pemain. Dan harapan beliau juga adalah untuk menjaringkan gol buat Perak demi memastikan pasukannya layak ke separuh akhir.

Ternyata, inilah masa yang paling sesuai untuk menggunakan slogan mereka, “Kejor Yob Kejor” dalam misi mencari gol dan kemenangan mutlak ke atas Selangor dalam kempen Piala Malaysia kali ini.