Connect with:




Md Akid Aziz berharap dapat memulakan aingan musim 2019 dengan penamat di atas podium dalam misi untuk memburu gelaran keseluruhan CP150 pada saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 yang akan membuka tirai di Jasin, Melaka, 23 Mac ini.

Selain pada itu, Akid yang menamatkan saingan musim lepas di kedudukan ketiga keseluruhan juga sudah bersedia untuk menggalas tugas selaku pelumba utama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor setelah ketiadaan Kasma Daniel Kasmayuddin dan Md Ramdan Rosli yang beralih ke saingan Asia dan Eropah pada musim ini.

Ketiadaan dua pelumba berpengalaman itu menyaksikan Akid bakal bergandingan bersama dua pelumba rookie kelas CP150 iaitu Md Haziq Md Fairues dan Md Shafiq Ezzariq Saiful Nizam.

“Saya tidak ada masalah dengan ketiadaan dua gandingan saya pada musim lepa kerana sudah biasa dengan jentera CP150 ini. Selain Cub Prix, sudah dua tahun juga saya beraksi dalam kategori 150 di saingan Asia,” jelas juara Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia 2017 itu.

Tambahnya, “Selain itu, saya yakin Haziq dan Shafiq juga akan cepat menyesuaikan diri dengan jentera CP150 terutama Haziq kerana dia merupakan rakan sepasukan saya di pentas ARRC.

Bercakap tentang sasaran pada minggu ini, Akid menjelaskan dia berharap dapat memulakan musim 2019 dengan meraih podium sebagai pemangkin semangat untuk memburu gelaran keseluruhan musim ini.