Connect with:




Lapan belas orang pemain bola sepak muda daerah Wilayah kini berada satu langkah lebih dekat untuk memenangi tiket keemasan untuk menjadi sebahagian dari Kem Bola Sepak Junior Allianz (AJFC) di Munich dan peluang untuk dilatih oleh jurulatih-jurulatih muda FC Bayern Munich pada bulan Ogos ini.

Pemain-pemain yang hadir telah benar-benar membuat para juri kagum pada perlawanan akhir pada hari ini dan akan mewakili daerah Wilayah pada Perlawanan Akhir Liga AJFC Malaysia 2018 yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Julai 2018.

Ketika perlawanan akhir, Akademi Bolasepak Felda United telah dinobatkan sebagai juara daerah Wilayah Kem Bola Sepak Junior Allianz (AJFC) selepas menewaskan Wira Semenyih SCFC 2-0 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia hari ni. Dalam perlawanan untuk menentukan tempat ketiga dan keempat, CIMB-YFA Bintang Muda telah menundukkan Kelab Sukan Glenmarie United 8-0.

“Kami amat berbangga untuk menobatkan juara Wilayah Tengah hari ini. Semua pemain telah bermain dengan penuh semangat dan azam yang tinggi. Menerusi AJFC, Allianz juga amat berbangga dapat memberikan pengalaman bermain bola sepak secara profesional yang diimpikan kepada pemain-pemain yang penuh berbakat ini. Kami mengucapkan tahniah kepada semua 18 pemain yang telah berjaya menjadi wakil pasukan daerah Wilayah dan semoga berjaya untuk perlawanan akhir kelak,” kata Amy Loke, Ketua Pengurusan Pemasaran Allianz Malaysia Berhad.

Liga AJFC Malaysia di daerah Wilayah telah bermula di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 24 Mac 2018 diikuti dengan daerah Selatan di Kompleks Sukan Hang Jebat, Melaka dan daerah Utara di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (7 April); dan daerah Pantai Timur di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 dan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang dan Sabah di Padang Sukma Kota Kinabalu (14 April). Format liga tahun ini akan kekal 11-sebelah dan perlawanan berlangsung selama 70 minit.

Pada kemuncak perlawanan Liga Malaysia AJFC, panel pemilih serantau akan memilih 18 orang pemain teratas dari setiap rantau untuk menubuhkan enam pasukan serantau yang akan berentap di perlawanan akhir. Selepas menjalani latihan berpusat selama tiga hari, enam pasukan akan berlaga untuk merebut gelaran juara pada Perlawanan Akhir pada 7 Julai. Pada perlawanan akhir, 10 orang pemain akan dipilih untuk menyertai AJFC Asia di Bangkok, Thailand, dimana dua orang pemain terbaik dari Malaysia akan dipilih untuk menghadiri AJFC di Munich, Jerman.