Connect with:




Sejarah baru tercipta buat PFAM apabila secara rasminya, Akademi Bolasepak PFAM telah berjaya ditubuhkan dan beroperasi. Keunikan Akademi ini adalah ia merupakan jalinan kerjasama antara para pemain profesional dan komuniti KRT setempat.

Majlis pelancaran Akademi Bola Sepak PFA Malaysia ini disempurnakan oleh Menteri Belia & Sukan, YB. Brigadier Jeneral Khairy Jamaluddin pada satu majlis khas bersempena Karnival Perpaduan Taman Bandar Senawang hari ini.

Presiden PFA Malaysia, Rezal Zambery Yahya berharap program ini dapat dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh jangka panjang.

“Semoga dengan adanya penubuhan akademi ini, hal ini dapat membantu pemain mengembangkan bakat mereka dalam bidang kejurulatihan dan pastinya ilmu ini akan dapat diaplikasikan apabila mereka bersara kelak.”

“Saya juga mengucapkan ucapan terima kasih kepada komuniti Taman Bandar Senawang yang bertungkus lumus untuk menjayakan Akademi Bola Sepak PFAM ini satu kenyataan.”

“Inilah contoh peranan komuniti dalam membentuk ekosistem yang signifikan dalam usaha melahirkan pemain-pemain bolasepak profesional. Moga segala perancangan dapat dijalankan dengan lancar.”

Sehingga kini, pihak akademi telah menerima sambutan yang menggalakkan dan kini hampir 70 orang pelatih yang berdaftar dan dijangka angka ini akan bertambah selepas ini.

Pihak akademi juga telah membuat keputusan untuk tidak meletakkan had bilangan pelatih kerana ingin memberi peluang kepada seramai mungkin anak-anak yang mempunyai keinginan untuk mempelajari teknik bola sepak.

Antara kelebihan menyertai akademi ini ialah para pelatih mendapat bimbingan dari jurulatih yang terdiri dari pada bekas pemain yang mempunyai lesen kejurulatihan dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan mendapat perlindungan Insurans kepada peserta melalui PFAMcare meliputi kemalangan, perlindungan dan pampasan sehingga RM30,000 untuk kecederaan mengakibatkan cacat kekal atau kematian.

PFAM turut mengucapkan terima kasih kepada barisan penaja akademi iaitu139 Associates, PaddyGear, BB7, RR13, Marquee Sports Management, Grand Fresh, Natasha Kitchen, Securinas Security, ProLorry, RMR Scan Resources dan Major Pomade kerana memberikan keyakinan dan komitmen untuk memastikan akademi ini berjalan dengan lancar.