Connect with:




Pasukan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) bawah-14 tahun (B-14) menamatkan saingan Jelajah Eropah hari ini dengan kejayaan menjuarai dua kejohanan antarabangsa di Belanda dan Jerman di samping berjaya menarik perhatian pencari-pencari bakat di Eropah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar, kejayaan tersebut adalah hasil pelaksanaan pelan jangka masa panjang program yang bermula sejak di peringkat Akademi Tunas.

“Ini adalah generasi ke-3 skuad elit AMD, pelatih-pelatih skuad AMD B-14 ini telah berada di dalam sistem NFDP sejak mereka berumur 10 tahun, berlatih di Akademi-Akademi Tunas di seluruh negara. Ini membuktikan bahawa kaedah latihan di Akademi-Akademi Tunas NFDP jika dilakukan dengan sebaik mungkin, akan dapat melahirkan pemain bertaraf dunia.”

AMD B-14 telah mengharungi 22 perlawanan di sepanjang jelajah tersebut bermula dari 15 Mei dan muncul sebagai juara Kejohanan Whitsun di Jerman dan juara Kejohanan Vogido di Belanda selain meraih tempat ke-10 dalam Kejohanan Human Elite Cup di Perancis.

Namun, Safirul menegaskan bahawa hasil sebenar skuad tersebut hanya dapat dilihat pada masa 4-5 tahun yang akan datang.

“Para pelatih masih lagi di peringkat pembelajaran dan menjalani proses pendedahan secara berterusan. NFDP akan terus memberikan pendedahan seumpamanya terhadap skuad-skuad elit AMD agar lebih banyak perkara dapat dipelajari oleh para pelatih. Kerja-kerja pembangunan di peringkat Akademi Tunas adalah amat kritikal bagi memastikan teknik asas bola sepak yang baik dikuasai oleh pelatih-pelatih sebelum disaring dan dibawa ke AMD untuk digilap”, ujarnya.

Safirul turut menambah:

“Selain itu, segelintir pemain-pemain AMD B14 & B-15 kita telah pun menjalani tempoh percubaan bersama akademi AZ Alkmaar (Belanda) ketika berada di Belanda. Tidak ketinggalan, 3 orang pelatih AMD bawah 13 tahun juga telah mendapat undangan untuk mewakili akademi ternama di Perancis iaitu Paris-Saint Germain dalam satu kejohanan di Rome pada bulan Jun.”

Juga, pihak kami turut dihubungi oleh kelab belanda, Ajax Amsterdam mengenai pemain kita. Ini adalah satu pengiktirafan buat bakat-bakat tempatan dan harus diteruskan dan yang paling penting pemain-pemain kita harus berada di dalam sistem pemantauan pencari-pencari bakat ini. ”, tambahnya.

Skuad AMD B-14 berlepas ke Belanda pada 15 Mei lepas, bersama-sama skuad AMD B-15 yang telah pun pulang ke tanah air lebih awal selepas mengharungi pendedahan antarabangsa di Jerman dan Belanda.