Connect with:




Anak kepada pemilik Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha, yang juga merupakan Naib Presiden Leicester, Aiyawatt Srivaddhanaprabha memberi penghormatan terakhir penuh beremosi dan menyatakan tekad serta kesediaan menyambung legasi yang dijuangkan mendiang ayahnya.

Sabtu lalu, Vichai ahli perniagaan terkemuka dari Thailand yang disayangi peminat The Foxes itu terkorban apabila helikopter yang dinaiki beliau bersama empat lagi penumpang selepas perlawanan antara Leicester menentang West Ham terhempas di luar Stadium King Power.

Aiyawatt bersama ibunya, Aimon meletakkan kalungan bunga di stadium itu sambil membaca mesej dan di sampingnya ratusan bunga, baju serta scarf ditaburkan sebagai tanda memperingati jasa pengasas King Power International Bebas Cukai yang amat disanjungi penyokong Leicester.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua orang yang memberikan sokongan tidak berbelah bagi buat saya dan keluarga, kami masih lagi terkejut.

“Tidak dilupakan terima kasih kepada Polis Leicestershire dan pasukan kecemasan kerana tindakan pantas mereka menyelamatkan orang ramai daripada turut menjadi mangsa selain mereka bertindak cukup profesional dan sensitiviti mereka untuk beberapa hari ini,” kata Aiyawatt menerusi kenyataannya.

Leicester yang dibeli Vichai pada tahun 2010 menggegarkan dunia bola sepak Inggeris apabila muncul juara Liga Perdana pada 2016.

“Apa yang terjadi membuka mata saya dan sedar betapa pentingnya bapa saya kepada orang ramai di seluruh dunia dan saya sangat tersentuh dengan penghormatan yang mereka berikan.

“Saya sangat bangga mempunyai ayah yang luar biasa. Daripada ayahlah saya belajar mempunyai misi besar dan legasi yang ditinggalkan  harus diteruskan dan saya tekad mahu melakukan yang terbaik.

“Dia seorang yang sangat sayangkan keluarga kerana itu Leicester beliau anggap seperti keluarga dan tiada yang lebih membanggakan buat dirinya apabila melihat keluarga Leicester City menyokong satu sama lain pada saat sukar begini,” ujarnya lagi.

Sementara itu pihak Leicester mengesahkan aksi Liga Perdana Inggeris menentang Cardiff City pada Sabtu ini akan diteruskan selepas aksi Piala Liga menentang Southampton semalam ditunda.

 

Foto : AFP

Sumber : Fox Sports