Connect with:




Pelumba Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir  memastikan kayuhan terakhir beliau pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) sebagai pengakhiran yang membawa 1001 makna buat dirinya.

Menurut laporan akhbar Kosmo!, anak gadis berasal dari Kemaman, Terengganu itu meraih emas hatrik bagi acara ujian masa individu wanita dalam tiga edisi berturut-turut yang disertainya semenjak 2014.

Pencapaian itu menyaksikan Aisyah terpahat dalam sejarah baru Sukma apabila menjadi satu-satunya pelumba basikal yang berjaya mempertahankan gelaran untuk tiga edisi.

“Tentu saja saya teruja dan gembira dengan pencapaian yang diraih tambah pula ini adalah Sukma terakhir buat saya,” jelasnya.

Perlumbaan yang berlangsung di Batu Kurau, Perak semalam melibatkan jarak sejauh 31.2 kilometer dan dengan catatan terpantas 44 minit 57.316 saat (s), Aisyah mengesahkan pingat emas bagi acara itu masih milik beliau.

Seorang lagi pelumba Terengganu, Nurul Najihah Inani A. Aziz turut tidak mengecewakan apabila meraih pingat perak dengan catatan masa 47:29.641s.

Sementara tempat ketiga menjadi milik pelumba Wilayah Persekutuan, Yeong Zhen Yi yang mencatatkan masa 49:29.641.

Pada temasya 2016 yang berlangsung di Kuching, Sarawak, Nur Aisyah, 21, mencuri tumpuan apabila membolot lima emas bagi acara ujian masa individu dan berpasukan, lepas beramai-ramai individu, berpasukan dan juga kriterium.