Connect with:




AirAsia terus menyokong arena sukan badminton Malaysia menerusi tajaan penerbangan bernilai RM1 juta kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi kegunaan para pemain kebangsaan yang akan bertanding di kejohanan yang bakal berlangsung di rantau ini.

Pengumuman tersebut dibuat di majlis penyampaian cek oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun kepada  Presiden BAM Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria di ibu pejabat syarikat penerbangan tersebut di Malaysia, RedQ.

Datuk Kamarudin Meranun berkata, “Kami berbangga dapat memperbaharui sokongan terhadap sukan Badminton Malaysia lanjutan dari tajaan utama Kejohanan Badminton Remaja AirAsia-BAM yang dimeterai tahun lepas. Kami sangat berbesar hati dapat terus memberikan sokongan dan bantuan yang akan memudahkan perjalanan pemain kebangsaan dalam memburu kemenangan dan gelaran di kejohanan yang bakal berlangsung di rantau Asean atau dunia.”

Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, “Kami sangat menghargai sokongan berterusan yang diberikan oleh AirAsia. Tajaan ini amat membantu dalam membolehkan pemain kebangsaan kita untuk menjalani sesi latihan dan kejohanan serantau. Ini adalah bukti komitmen AirAsia dalam membangunkan arena sukan tempatan dengan menyokong pemain kebangsaan kita.”

Tajaan penerbangan sepanjang tahun bernilai RM1 juta ini adalah sebahagian dari kempen berterusan #DARETODREAM AirAsia yang mengukuhkan posisi syarikat penerbangan tersebut dalam merealisasikan impian, membangun arena sukan tempatan dan menyokong atlit negara dari pelbagai tahap dengan satu visi – untuk mengharumkan nama negara di mata dunia.

AirAsia telah menyokong pelbagai atlit dalam usaha mereka meraih kejayaan antaranya adalah atlit berbasikal trek  Azizulhasni Awang dan atlit bina badan Faiz Ariffin serta pemain boling Syaidatul Afifah.