Connect with:




AirAsia telah menyediakan penerbangan khas bagi membawa para penyokong Harimau Malaya ke Hanoi untuk menyaksikan pusingan akhir kedua Piala AFF Suzuki menentang Vietnam pada Sabtu ini.

Dua penerbangan khas dengan tambah rendah tetap dari Kuala Lumpur ke Hanoi pada 14 dan 15 Disember 2018 dengan jumlah 345 tempat duduk tersedia untuk para peminat pasukan bola sepak kebangsaan.

Dalam pada itu, satu majlis penghantaran para penyokong telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada hari ini yang menaiki penerbangan pertama melalui penerbangan AirAsia Malaysia AK9336.

Komitmen AirAsia terhadap arena sukan adalah sebahagian daripada kempen berterusan #DARETODREAM AirAsia yang mengukuhkan posisi syarikat penerbangan tersebut dalam merealisasikan impian, membangunkan arena sukan tempatan dan menyokong atlet negara dalam pelbagai tahap dengan satu visi – untuk mengharumkan nama negara di mata dunia.

Sejak beberapa tahun yang lalu, AirAsia telah memberi sokongan kepada ramai atlet negara dalam usaha mereka meraih kejayaan, antaranya adalah atlet berbasikal trek Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa, penerjun Leong Mun Yee, atlet bina badan Faiz Ariffin, pemain boling Syaidatul Afifah Badrul Hamid, serta pemain badminton profesional dari Akademi Badminton AirAsia Liew Daren.