Satu-satunya peserta Malaysia yang akan beraksi di ONE: IMMORTAL PURSUIT minggu ini ialah Muhammad Aiman. Diberi gelaran ‘Jungle Cat’, Aiman akan menentang Yang Fei dari China dalam pertarungan catchweight.

Atlet dari Negeri Sembilan ini hanya diberitahu notis untuk bertarung dalam tempoh dua minggu sahaja namun Aiman tetap menyahut cabaran tersebut.

“Sebenarnya saya memang dah minta beberapa kali pertarungan dari ONE namun tidak ada jawapan. Selepas menunggu dengan lama, saya sudah berputus asa.

“Kemudian saya dapat notis untuk beraksi di Singapura. Tanpa fikir panjang, saya bersetuju. Dalam tempoh tersebut sebenarnya saya masih lagi dalam latihan, tidaklah ‘out of shape’. Jurulatih juga bersetuju” katanya yang berlatih bersama pasukan Bali MMA.

Semenjak dari bangku persekolahan lagi Aiman telah mula mengasah bakatnya dalam sukan ini.

“Saya budak bandar dan bila berpindah ke sekolah di luar bandar, memang ramai yang mahu jadikan saya mangsa buli. Bagaimanapun saya bukan jenis yang mudah dibuli, saya seorang yang melawan” katanya dipetik dari temubual bersama ONE.

Aiman kemudiannya aktif dengan tinju sebelum serius dalam MMA sekitar 2016 yang menyaksikannya muncul jaura MIMMA kategori featherweight pada tahun tersebut.

“Mula-mula, penglibatan saya dalam MMA ditentang oleh ibubapa saya namun hari ini, mereka adalah penyokong utama terutamanya ibu saya yang boleh dikatakan seorang pengurus untuk saya” katanya.

Bagi pertarungan Jumaat ini, Aiman telah melakukan persiapan rapi dan berharap dapat memberinya kemenangan ketiga dalam karier ONE yang ketika ini mencatatkan rekod 2-2.

“Tiada latihan khusus, saya cuma berlatih seperti biasa sambil tingkatkan stamina. Saya lebih fokus kepada diri saya berbanding mengkaji pihak lawan.

“Lagi pula Fang adalah peserta China dan sememangnya sukar untuk mendapatkan video pertarungan atlet-atlet dari China”.

ONE: IMMORTAL PURSUIT berlangsung di Stadium Tertutup Singapura pada Jumaat bermula jam 8 malam.