Connect with:




Kejayaan pemain perseorangan lelaki remaja negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin mara ke pusingan keempat Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Markham, Kanada, awal pagi tadi mendapat pujian ketua jurulatih skuad remaja, Kwan Yoke Meng yang berpuas hati dengan prestasi pemain muda itu.

Meskipun tewas pada set pertama di tangan Hyeong Seung Park dari Korea Selatan, Aidil yang merupakan satu-satunya pemain profesional terpilih mewakili negara melakukan kebangkitan menakjubkan di set kedua untuk mengetepikan lawannya itu dengan keputusan, 19-21, 21-17, 21-18 menerusi aksi tiga set.

“Aidil mempamerkan aksi sangat baik. Dia mengatasi Seung Park yang telah menundukkan pilihan keempat kejohanan sebelum itu. Dia membuktikan dia mampu untuk bersaing dengan pemain utama dunia yang lain.

“Semangat juang tinggi ditunjukkan Aidil juga merupakan salah satu faktor kejayaannya. Saya bangga dengan semangat ditunjukkannya,” jelas Yoke Meng ketika dihubungi.

Menanti pemain yang bakal menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula bulan hadapan itu adalah pemain Jepun, Riku Hatano bagi merebut slot ke suku akhir.

Tidak ketinggalan seorang lagi wakil negara, Ng Tze Yong juga mengikut jejak Aidil untuk mara ke pusingan keempat apabila dipaksa berkerja keras untuk mengetepikan lawan dari Jerman yang juga pilihan ke-13, Lucas Resch, 21-17, 16-21, 21-13.

Tze Yong bakal berhadapan Ikhsan Leornardo Emanuel Rumbay dari Indonesia untuk mengesahkan satu slot ke pentas suku akhir.

Sementara itu bagi acara perseorangan wanita pula, pemenang pingat emas Olimpik Belia 2018, Goh Jin Wei turut mengesahkan kemaraan ke pusingan keempat setelah tiada masalah mengetepikan pemain Australia, Zecily Fung, 21-5, 21-6.

Jin Wei yang merupakan pemenang gelaran remaja dunia pada 2015 akan membuat perhitungan dengan wakil Kanada, Wendy Zhang.

Seorang lagi pemain perseorangan wanita, Eoon Qi Xuan serta beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei dan beregu campuran, Chia Wei Jie-Ee Wei turut mengesahkan kemaraan ke pusingan keempat.

 

Foto : Facebook Badminton Association Of Malaysia

Sumber : Bernama