Fuad Ketiga Terpantas Latihan SuperSports 600cc di PenbayKejayaan menduduki podium dalam beberapa perlumbaan dalam sirkit kebangsan telah memberi keyakinan kepada Ahmad Fuad Baharudin ketika bertanding di dalam Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) 2012.

Keyakinan tersebut dibuktikan apabila beliau berjaya mencatat masa ketiga terpantas dalam sesi latihan kategori Supersports 600cc di Litar Antarabangsa Penbay, venue Pusingan 5 ARRC 2012 hari ini. Penunggang Pasukan Bike ART Kawasaki Racing itu mencatatkan masa 1’46.738s di pusingan kedua sebelum terpaksa menamatkan sesi latihan apabila terjatuh di selekoh lima litar tersebut.

Pendahulu keseluruhan yang juga juara bertahan kategori tersebut, Katsuaki Fujiwara dari pasukan Manual Tech BEET Kawasaki Racing mencatatkan masa 1’45.894s untuk mendahului sesi ini, diikuti oleh pelumba pasukan MUSASHI Boon Siew Honda Racing, Ryuichi Kiyonari yang mencatatkan masa 1’46.416s di tempat kedua.

Ahmad Fuad berpuas hati dengan persembahannya yang kompetitif tetapi mengakui masih perlu bekerja keras untuk terus menyaingi Fujiwara. Litar Penbay yang lebih teknikal memerlukan pelumba berusia 33 tahun itu untuk berada di barisan hadapan di hari perlumbaan sebenar kerana peluang untuk memintas agak terhad.

Tindakan Kawasaki untuk mengadakan ujian di litar ini beberapa minggu lepas memberi beberapa kelebihan kepada pasukan tersebut dari segi penyediaan enjin dan saspensi tetapi ianya mungkin tidak mencukupi untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka kali ini.

Fujiwara yang lebih gemar berlumba di litar pantas berkongsi pandangan Ahmad Fuad bahawa litar Penbay ini lebih teknikal namun yakin ianya akan membantu beliau untuk meningkatkan skil tunggangannya. Malah dia yakin mampu untuk mencatatkan masa yang lebih baik dalam sesi ujian seterusnya bergantung kepada keadaan litar.

Keputusan Latihan Bebas:
1) Katsuaki Fujiwara (Manual Tech BEET Kawasaki Racing) 1’45.894s
2) Ryuichi Kiyonari (MUSASHI Boon Siew Honda Racing) 1’46.416s
3) Ahmad Fuad Baharudin (Bike ART Kawasaki Racing) 1’46.738s