Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkuat kuasa semalam.

Tindakan Ahmad Bashah melepaskan jawatannya turut diikuti oleh Setiausaha Kehormat, Datuk Aminuddin Omar serta Bendahari, Datuk Yusof Ismail yang menghantar surat perletakan jawatan masing-masing.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, pihaknya telah berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk mencadangkan agar beliau kembali memimpin KFA.

Mukhriz juga ada bertanyakan mengenai soal kewangan, perkembangan dan kedudukan pasukan.

Syed Unan menambah, Anggota Mesyuarat Eksekutif KFA menyerahkan keputusan tersebut kepada Mukhriz dan dalam masa yang sama  berharap beliau mengambil alih tugas yang ditinggalkan Ahmad Bashah bagi membolehkan pelantikan dibuat dengan segera.

Sementara menunggu keputusan pelantikan Presiden KFA yang baharu, jawatan presiden sementara akan dipangku oleh Syed Unan dan jawatan bagi Setiausaha Kehormat dan Bendahari, masing-masing akan dipikul oleh Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Syed Yussof Syed Othman.

Menteri Besar tidak dilantik secara automatik untuk menjadi Presiden KFA tetapi jika jawatan itu dipegang oleh Menteri Besar, ia dapat membantu persatuan, kata Syed Unan.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi Presiden KFA tetapi untuk mencari penaja itu agak susah. Setakat ini kami tidak berdepan masalah daripada penjaa sedia ada seperti ECK Development Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA),”

MyMetro melaporkan, Syed Unan berterima kasih kepada Ahmad Bashah di atas sumbangan membantu memantapkan pasukan Lang Merah sepanjang tempoh beliau berkhidmat dan menjadikan pasukan Kedah berada dalam kelompok pasukan terbaik Liga Super.

Di samping itu, KFA sedang mengintai peluang untuk membawa masuk bekas penyerang import JDT, Paulo Rangel dan berharap dapat menggunakan khimat pemain berkenaan untuk aksi menentang Pahang pada 22 Mei ini di Stadium Darul Aman.

Sumber : MyMetro

Foto Kredit : kedahnews(dot)com