Ahmad Afif Amran (50) memintas Mohd Emir Amran (19)

 

Dalam saingan kategori CP115, setelah bergelar naib juara di Kluang (Pusingan 7), Ahmad Afif Amran meneruskan kecemerlangannya dan kali ini dia berjaya meraih gelaran juara buat pertama kali dalam musim ini.

Pelumba CKJ Yamaha Racing  itu menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa keseluruhan 10:12.518s manakala duo M-Seki Liberty Honda Racing, Mohd Emir Firdaus Hasan dan Sasitharen Sukumaran berada di tempat kedua dan ketiga, masing-masing dengan masa keseluruhan 10:16.554s dan 10:17.168s.

“Selepas beberapa pusingan perlumbaan berlangsung, saya dapati Sasitharen kerap melakukan kesilapan di selekoh-U, jadi saya hanya menunggu peluang untuk memintasnya di situ. Pada pusingan kesembilan, dia sekali lagi melakukan kesilapan apabila sedikit terbabas dan saya memanfaatkan peluang tersebut untuk memintas seterusnya berada di kedudukan hadapan sehingga ke garisan penamat,” jelas Afif.

Kedudukan tempat kedua yang diraih oleh Mohd Emir telah membantunya untuk naik ke tangga ketiga dalam senarai keseluruhan setelah mengumpul 94 mata. Kedudukan teratas dan kedua kekal menjadi milik Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dan Mohd Amirul Arif Musa (Pachie Yuzy Honda Racing), masing-masing dengan 110 mata dan 104 mata.

Fakhrusy Syakirin Rostam dengan mudah menguasai perlumbaan kategori Wira

 

Menepati ramalan, juara Pusingan 7 di Kluang, Fakhrusy Syakirin Rostam dengan mudah menguasai perlumbaan kategori Wira setelah menamatkan perlumbaan 10 pusingan dengan masa keseluruhan 8:37.452s.

Pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport itu 4.305s jauh dihadapan pemenang tempat kedua, Tengku Amirul Haffiruddin dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing. Tempat ketiga menjadi milik rakan sepasukan Tengku Amirul, Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan dengan masa keseluruhan 8:44.694s.

Mengakui kemenangan pada perlumbaan hari ini agak mudah baginya, Fakhrusy berkata, “Tidak banyak yang saya lakukan sepanjang perlumbaan tadi. Permulaan yang baik dan juga insiden melibatkan pelumba di belakang memberi laluan mudah untuk saya selesa berada di hadapan. Sedar saya selesa di hadapan, saya hanya memberi tumpuan untuk menamatkan perlumbaan tanpa perlu mengambil sebarang risiko yang boleh merugikan saya,” jelas Fakhrusy yang turut memenangi perlumbaan di litar ini pada musim lalu.

Dengan 25 mata yang dipungut pada hari ini, Fakhrusy merampas gelaran pendahulu keseluruhan daripada Mohd Hafiz Nor Azman (Team Mos Track Pro Yamaha Racing) yang sekadar menamatkan perlumbaan di tangga keempat. Fakhrusy kini mengumpul 158 mata manakala  Hafiz dengan 152 mata. Kedudukan ketiga kekal menjadi milik Tengku Amirul dengan 98 mata.

CP115
Perlumbaan
1.Ahmad Afif Amran (Yamaha) 10’12.518s 2.Mohd Emir Firdaus Hasan (Honda) 10’16.554s 3.Sasitharen Sukumaran (Honda) 10’17.168s 4.Mohd Azhar Abdul Jalil (Yamaha)10’20.652s 5.Mohd Amirul Ariff Musa (Honda) 10’21.087s

Kedudukan Keseluruhan
1.Shahril Izzuwan Mohd Noor (Yamaha) 110 mata 2.Mohd Amirul Ariff Musa (Honda)104 mata 3.Mohd Emir Firdaus Hasan(Honda) 96 mata 4.Ahmad Abdul Kadir (Yamaha) 94 mata 5.Mohd Iskandar Raduan (Yamaha) 78 mata

Anugerah Berpasukan
1.PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM 186 mata 2.M-Seki Liberty Honda Racing 171 mata 3.CKJ Yamaha Racing Team159 mata 4.Pachie Yuzy Honda Racing 116 mata 5.Apido Yamaha Boon Kui Racing 100 mata

WIRA
Perlumbaan
1.Fakhrusy Syakirin Rotam (Honda) 8’37.452s 2.Tengku Amirul Haffiruddin (Yamaha) 8’41.757s 3.Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Yamaha) 8’41.757s 4.Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 8’46.113s 5.Nurahmad Fariznazreen (Yamaha) 8’51.225s

Kedudukan Keseluruhan
1.Fakhrusy Syakirin Rostam (Honda) 158 mata 2.Mohd Hafiz Nor Azman (Yamaha) 152 mata 3.Tengku Amirul Haffiruddin (Yamaha) 98 mata 4.Mohd Izzat Zaidi Salehan (Yamaha) 86 mata 5.Che Ku Amriq Asyraf (Yamaha) 61 mata