Connect with:




Setelah menjalani pembedahan lutut pada April yang lalu, Penyerang Sensasi Manchester City, Sergio Aguero menegaskan bahawa beliau kini berada pada tahap terbaik sepanjang kariernya.

Meskipun berjaya mendakap trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali ketiga pada kempen 2017-18  namun Aguero terpaksa melupakan baki kempen musim lalu kerana perlu menjalani pembedahan.

Pada November lalu, Aguero melakar sejarah apabila memecahkan rekod penjaring City yang sebelum ini dipegang oleh Eric Brook.

Dua ledakan gol Aguero memastikan The Citizen berjaya menjinakkan Chelsea  dalam pertembungan Perisai Komuniti sebelum meledak tiga lagi gol ketika bertemu Huddersfield, bulan lalu.

“Semuanya rasa hebat di sekeliling saya dan saya langsung tidak merasakan ketidak selesaan malah sedia untuk meledak lagi,” kata Aguero.

Semenjak tiba di Etihad pada Julai 2011 dari Atletico Madrid, Aguero boleh dikatakan antara penyerang berprolifik yang beraksi di Liga Perdana Inggeris apabila berjaya meledak lebih 200 gol untuk kelabnya itu.

Kali terakhir beliau beraksi bersama City musim lalu adalah pada 10 April ketika tunduk di tangan Liverpool pada saingan Liga Juara-Juara, namun beliau kembali pada Piala Dunia 2018 dengan meledak dua gol untuk membawa Argentina ke pusingan 16 terakhir sebelum diketepikan Perancis.

“Keputusan untuk melakukan rawatan pada penghujung musim lalu adalah tepat kerana saya merasakan itu adalah masa paling sesuai dan pasukan sudah berada pada prestasi terbaik ketika itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr (Ramon) Cugat yang telah melakukan rawatan terbaik untuk menangani masalah lutut saya, mungkin ini adalah permulaan musim terbaik kerana untuk beberapa tahun kebelakangan yang saya lalui, ini (keadaan) terbaik pernah saya rasakan,” katanya kepada laman web City.