Sergio Aguero beraksi cemerlang dengan menjaringkan satu gol dan mencipta peluang dua lagi gol bagi membantu skuad Juara Liga Perdana Inggeris 2012, Manchester City menumpaskan Malaysia dengan jaringan 3-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Disaksikan lebih 50,000 penonton yang membanjiri stadium seawal jam 6 petang, skuad Harimau Malaya bermula garang menguji kubu Manchester City apabila mendapat sepakan percuma setelah Costel Pantilimon melakukan kesalahan menangkap bola di luar kotak penalti. Namun begitu sepakan percuma yang diambil Aidil Zafuan mudah didakap kemas oleh Pantilimon.

Manchester City hampir membuka gol pada minit ke-6 namun percubaan Sergio Aguero menyinggahi palang gol. Seakan mendapat rentak, Manchester City meningkatkan tempo permainan dan pada minit ke-17 Sergio Aguero berjaya menjaringkan gol pertama buat Manchester City apabila mudah memperdaya tiga pertahanan Malaysia.

Selepas itu pasukan pelawat beberapa kali berjaya menembusi kubu pertahanan Malaysia yang dikawal Aidil Zafuan namun kecekapan penjaga gol, Farizal Marlias berjaya menggagalkan Manchester City untuk mencari gol tambahan di separuh masa pertama.

Manchester City menggandakan gol seawal babak kedua apabila Carlos Tevez mudah menyempurnakan hantaran daripada Sergio Aguero.

Sergio Aguero sekali lagi bertindak cemerlang apabila mengumpan cantik kepada Adam Johnson untuk gol ketiga Manchester City pada minit ke-53.

Ketinggalan tiga gol memaksa jurulatih, K Rajagobal membawa masuk beberapa tenaga baru seperti Azzamuddin Akil, Shakir Ali serta penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Hasilnya Malaysia berjaya memperolehi gol saguhati melalui Azzamuddin yang merembat deras menewaskan Johansen setelah menerima hantaran daripada Mahali Jasuli.

Mendapat semangat daripada gol itu, Malaysia mengasak kubu The Citizen namun keputusan 3-1 kekal sehingga wisel penamat dan Manchester City membawa pulang kenangan manis di Kuala Lumpur