Connect with:




Bintang MMA negara, Agilan Thani bakal menjadikan pentas ONE: LEGENDARY QUEST di Shanghai pada 16 Jun ini sebagai medan kebangkitan selepas berehat lama dari kecederaan.

Anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur ini akan berdepan peserta dari Jepun berketurunan Korea, Yoshihiro Akiyama dalam pertarungan welterweight yang juga merupakan pertarungan utama bersama (co-main event) dalam acara di Shanghai itu nanti.

ONE: LEGENDARY QUEST akan menampilkan pertembungan perebutan tali pinggang muay thai atomweight dunia melibatkan juara bertahan, Stamp Fairtex dengan bintang meningkat naik Australia, Alma Juniku.

Agilan yang pernah bertarung dalam pertarungan merebut tali pinggang kejuaraan welterweight ONE Championship menentang Ben Askren akan membuat kemunculan pertama sejak tewas kepada Kiamrian Abbasov pada Disember.

Dia kemudiannya menjalani pemulihan dari kecederaan belakang selama beberapa bulan dan kini giat membuat persiapan termasuk menjalani latihan di Bali MMA.

Bagi Akiyama pula, ini adalah debut untuk dirinya dalam ONE Championship selepas kariernya di UFC tidak begitu menyerlah.

Akiyama, bekas pemenang pingat emas judo Sukan Asia 2002 ini membuat 7 penampilan di UFC dari 2009 hingga 2015 dengan hanya 2 pertarungan memihak kepadanya.