Ketika “ONE- Throne of Tigers” yang berlangsung di Kuala Lumpur Februari lalu, Agilan ‘Alligator’ Thani meneruskan rekod cemerlangnya dalam ONE FC dengan kemenangan kelima berturut-turut.

Menggunakan kelebihannya bertarung ‘on ground’, Agilan memperoleh kemenangan selepas lawannya, Jeff Huang menyerah kalah (submission) dicekik Agilan. Semasa temuramah selepas pertarungan, Agilan dengan beraninya melaungkan cabaran buat pemegang tali pinggang Welterweight, Ben Askren.

Ben menerusi twitter peribadinya menyindir cabaran tersebut namun tetap menerima untuk menentang Agilan pada 26 Mei di “ONE: Dynasty of Heroes” di Singapura.

Selepas Ev Ting gagal dalam percubaannya menjadi juara dunia pertama bulan lalu, kini tiba giliran Agilan namun anak kelahiran Sentul ini mengakui Askren bukan mudah untuk ditewaskan.

“Dia (Askren) bekas Olimpian, penggusti Amerika dan masih belum pernah tewas dalam ONE FC. Kemahiran bergustinya sangat bagus.

“Apa yang saya perhatikan dalam pertarungannya, lawan-lawan Askren cepat panik. Saya sangat berdisiplin dan tekad untuk memenangi pertarungan ini” kata Agilan kepada ONE FC.

Bagi Askren pula, beliau mengetahui Agilan mempunyai kekuatan yang sama dengannya (bertarung ‘on ground’) namun beliau langsung tidak gentar walaupun melihat rekod cemerlang lawannya itu.

“Saya masih ingat akan satu pertarungan menentang seorang lawan dari Kazakhstan. Dia jatukan saya untuk berlawan di permukaan gelanggang. Dalam hati saya ketika itu, saya rasakan dia membuat satu kesilapan bodoh.

“Dalam tempoh 10 saat, saya menguncinya. Jadi jika Agilan mahu bertarung on ground, dipersilakan. Itu dunia saya” memetik kenyataan Askren di MMAfighting.

“ONE: Dynasty of Heroes” berlangsung di Stadium Tertutup Singapura bermula jam 8.30 malam ini. Anda boleh menontonnya secara langsung di Astro Arena dan juga tonton.my

 

FOTO KREDIT: ONE FC