Afrika Selatan mempersembahkan permainan penuh sensasi apabila menyekat keinginan pasukan Pakistan untuk mencatat rekod bergelar juara buat kali ke enam di Kejohanan Kriket Enam Sebelah Kumpulan KARP Hong Kong hari ini.

Persembahan ‘all-rounder’ ketua pasukan, Colin Ingram meletakkan Afrika Selatan di tempat yang selesa apabila dia mengutip 34 larian tidak keluar dan kemudiannya mengambil tiga wiket apabila tiba giliran pasukannya untuk melakukan ‘fielding’.

Juara bertahan Pakistan menang undian lambungan syiling dan memilih untuk melakukan ‘fielding’ terlebih dahulu, yakin dengan persembahan adik-beradik Akmal, Kamran dan Umar yang memberi persembahan yang meyakinkan sepanjang kejohanan, mereka mampu menghalang mana-mana pasukan dari mencuri larian yang banyak dari mereka.

Namun jumlah 142 larian yang dibuat oleh Afrika Selatan meletakkan mereka dalam keadaan yang sukar. Semuanya berpunca dari kenduri larian yang dibuat oleh pemukul pembuka mereka; David Miller dan Robert Frylinck, kemudiannya oleh Dillon Du Preez dan juga Ingram.

Persembahan pembaling Pakistan hambar dengan Hammad Azam melepaskan 29 larian dan Umar Akmal dan Yasir Shah masing-masing dipaksa untuk melepaskan 39 larian oleh para pemukul Afrika Selatan yang turut merekodkan enam belas pukulan enam.

Hanya persembahan kemas pembaling ‘seamer’, Junaid Khan dan Awais Zia mampu menyekat Afrika Selatan dari meneruskan amukan mereka. Namun jumlah larian 142 tidak mematahkan semangat para pemain Pakistan dan mereka bermula dengan baik dengan pemukul pembuka mereka mengutip 55 larian sebelum terpaksa masing-masing terpaksa berhenti apabila mencapai mata 31.

Ketika inilah Ingram kembali menghantui Pakistan apabila berjaya mengeluarkan Zia, Azam dan Shah apabila masing-masing mengambil risiko cuba membuat pukulan jauh. Dengan baki dua ‘overs’, Kamran Akmal keluar untuk mengambil giliran memukul dengan Pakistan memerlukan 59 larian untuk menang.

Junaid Khan mengorbankan dirinya untuk membolehkan abang Kamran, Umar bermain bersama adiknya. Namun impian mereka untuk terus mengejar tidak kesampaian dan keputusan mereka untuk membenarkan Afrika Selatan memukul dahului ternyata satu kesilapan yang memakan diri mereka sendiri akhirnya.

Umar mendapat sedikit saguhati apabila dinamakan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan namun beliau dan rakan-rakan sepasukannya hanya mampu memerhatikan sahaja Ingram menerima piala bersama hadiah berjumlah USD$40 ribu.

Australia pula memenangi gelaran Juara ‘Plate’ selepas menewaskan Belanda yang mengejutkan England di separuh akhir pertandingan tersebut. Belanda mengejutkan juara lima kali itu dengan membuat 101 larian yang gagal dikejar oleh para pemain England.

Namun Belanda hanya mampu mengutip 78 larian dalam perlawanan akhir, suatu jumlah yang mudah dikejar oleh Australia tanpa kehilangan satu wiket pun.