Satu lagi berita gembira telah diraih pasukan kriket Afghanistan yang baru sahaja mendapat status sebagai pasukan ‘test’ Jun lalu.

Semalam, pasukan remaja bawah-19 tahun mereka berjaya menewaskan Pakistan dalam aksi final Piala Remaja Asia ACC di Kinrara Oval menerusi satu persembahan yang cukup bertenaga dari anak buah Andy Moles ini.

Afghanistan berjaya mendapatkan 248 larian berbanding Pakistan yang sekadar meraih 68 larian.

“Sebelum hadir ke sini lagi saya sudah beritahu para pemain bahawa Afghanistan tidak boleh dianggap sebagai pasukan pelengkap jadual. Saya mahu mereka muncul juara walaupun kami bukan pilihan” kata Moles.

“Saya perlu beri kredit pada para pemain saya terutamanya 5 pemukul pertama. Mereka mengambil tanggungjawab dengan sangat baik pada hari ini” tambahnya lagi.

Moles menambah selepas ini para pemain akan diberikan rehat selama dua minggu sebelum kembali berlatih bagi mempersiapkan diri menjelang Piala Dunia Remaja di New Zealand, Januari tahun depan.