Affendi Rosli Dilantik Duta Hospital Sungai Buloh

 

Saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Litar Sepang, Sabtu dan Ahad lepas menyaksikan juara kategori CP130, Mohd Affendi Rosli beraksi dengan tertera logo baru di topi keledar yang digunakannya.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu minggu lalu dilantik sebagai duta kepada Hospital Sg Buloh, yang juga merupakan penajaan peribadi pertama diterima oleh pelumba-pelumba melalui industri kesihatan dalam negara.

Pengiktirafan Affendi ini membawa angin baru dalam industri sukan pemotoran negara apabila pelumba-pelumba tempatan turut menerima penajaan peribadi daripada dunia korporat, berbeza dimana selalunya penajaan diterima oleh pasukan-pasukan berbanding berbentuk peribadi.

“Saya gembira dan berbangga dengan mandat yang diberikan ini dan berjanji akan melaksanakan tugas sebagai duta ini dengan sebaik mungkin. Perlantikan ini juga sebenarnya turut menaikkan semangat saya untuk memenangi perlumbaan di Sepang dan kedua berturut-turut pada musim ini,” jelas Affendi.

“Perkembangan ini merupakan sesuatu yang positif kepada sukan pemotoran secara keseluruhannya. Pada masa ini, banyak perhatian mula ditunjukkan terhadap sukan pemotoran dan perkembangan positif ini mungkin berikutan dengan kejayaan pelumba-pelumba negara di peringkat antarabangsa. Dengan bentuk tajaan peribadi seperti ini, mudah-mudahan ia dapat membantu pelumba-pelumba untuk mengembangkan bakat mereka. Tidak kira di peringkat akar umbi, peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa.”

Antara pelumba-pelumba lain yang turut mendapat penajaan peribadi ialah dua pelumba handalan Malaysia di Kejuaraan Motosikal Asia, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Zamri Baba yang dinamakan sebagai duta kepada saluran sukan Astro Arena.

Pada masa sama, saingan Pusingan 9 Cub Prix di Litar Sepang berjaya menerima sebanyak 167 penyertaan dalam tujuh kelas perlumbaan keseluruhan.

Selain itu, ia turut merekodkan penyertaan teramai kategori Persendirian pada musim ini dengan jumlah maksimum seramai 48 pelumba tampil mempamerkan kebolehan dengan harapan dapat menarik minat pasukan-pasukan ternama untuk beraksi bagi musim penuh pada masa akan datang.