afc

 

Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) akan menganjurkan persidangan mengenai gejala mengatur perlawanan dan rasuah dalam bola sepak pada 20 hingga 21 Feb.

Persidangan dua hari anjuran bersama Fifa dan Interpol itu dijangka hangat
berikutan pendedahan Europol, yang menyatakan gejala rasuah berleluasa dalam
bola sepak dan meliputi perlawanan di hampir semua benua.

Setiausaha Agung AFC Datuk Alex Soosay berkata beliau memberi perhatian
terhadap laporan yang keluarkan Europol baru-baru ini mengenai gejala mengatur
perlawanan bola sepak dan menyatakan sokongan persekutuan dalam menyiasat
kegiatan tidak bermoral itu.

“Kami akan meningkatkan usaha dalam memerangi kegiatan mengatur perlawanan
dan rasuah dalam bola sepak dan proaktif dalam menganjurkan inisiatif ke arah
itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Persidangan bertemakan ‘Interpol International Conference – Match
Fixing: The Ugly Side of the Beautiful Game’, akan melihat penyertaan daripada
anggota persatuan AFC, kerajaan, industri pertaruhan dan pihak penguatkuasa
undang-undang.

Persidangan itu akan memberi tumpuan kepada latihan, pendidikan dan
inisiatif pencegahan gejala itu.

Menurut Europol, kegiatan mengatur perlawanan berlaku di 15 negara dan
sehingga kini, 50 orang telah ditahan. Perlawanan yang dikatakan terlibat
termasuk Piala Dunia dan kelayakan Piala Eropah.

Secara keseluruhan 380 perlawanan di seluruh dunia kini dalam siasatan
melibatkan 425 pegawai perlawanan, pegawai kelab, pemain dan penjenayah.

Mengenai isu mengatur perlawanan, Alex berkata: “Walaupun setakat ini AFC
tidak dihubungi secara rasmi oleh mana-mana pertubuhan, kami memberi sokongan
penuh kepada institusi dalam memerangi kegiatan mengatur perlawanan dan
pertaruhan haram dalam bola sepak.

“AFC tidak akan bertolak ansur dengan amalan tidak beretika dalam bola sepak
dan kami bertekad untuk memerangi sebarang perkara luar biasa dan tidak terhad
kepada mengatur perlawanan, rasuah dan pertaruhan haram dalam perlawanan,”
katanya. – BERNAMA