Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan media  menyokong penyiasatan rutin yang telah dilancarkan oleh badan induk bolasepak dunia, FIFA ke atas perlawanan dan keputusan pusingan ketiga Kelayakan Asia untuk Piala Dunia Brazil 2014 di antara Bahrain  dengan Indonesia baru-baru ini.

AFC akan membantu FIFA dan bekerjasama rapat dengan badan bola sepak dunia dalam menjalankan penyiasatan tersebut.

Perlawanan kelayakan yang diadakan di Manama menyaksikan Indonesia dibelasah teruk oleh Bahrain dengan jaringan 10-0 hingga mendatangkan kecurigaan perlawanan tersebut dicemari dengan rasuah.

Sementara itu, Setiausaha Agung AFC, Dato’ Alex Soosay yakin perlawanan tersebut tidak dicemari dengan unsur yang tidak sihat.

“Saya telah membaca laporan media tentang penetapan keputusan perlawanan. Tetapi saya yakin bahawa tiada pasukan terlibat dalam ini. Bahrain adalah pasukan yang lebih baik dari segi taktikal dan teknikal,” kata Dato’ Soosay dalam emel yang disiarkan kepada media.

“Saya telah meneliti laporan rasmi Komisioner Perlawanan AFC serta pengadil perlawanan dan mereka tidak mengesyaki apa-apa.”

“AFC dan Ahli Gabungan sangat berhati-hati dan bertekad untuk membasmi gejala ini,” kata tambah Dato ‘Alex lagi.