Connect with:




Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memuji langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melancarkan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), semalam, namun mengingatkan bukan mudah untuk memulakan sesuatu yang baharu.

Ketua Unit Pertandingan Futsal & Bolasepak Pantai AFC, Brian Johnson berkata, sesuatu yang baharu sememangnya akan menempah laluan yg sukar tetapi FAM perlu mengekalkan inisiatif ini.

“Sememangnya bukan mudah untuk memulakan sesuatu yang baharu. Pastinya akan wujud isu serta cabaran namun mengambil langkah permulaan saja sudah cukup mempamerkan daya usaha yang berani di mana ia adalah langkah yang tepat dibuat FAM.

“Namun, faktor kemampanan penting. Kita perlu sentiasa memperbaiki apa yang ada sekarang ini untuk kadar pembangunan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Futsal dan Bolasepak Pantai AFC, Ali Targholizade, berkata pelaksanaan MPFL penting kerana ia memberi kelayakkan buat kelab dari Malaysia beraksi dalam saingan AFC.

“Maju ke hadapan dari amatur ke professional, diakui FAM selangkah ke depan berbanding AFC dari sudut ini.

“Di AFC, kami sememangnya berharap setiap negara menganjurkan pertandingan dan perlawanan yang cukup buat pasukan serta pemain bagi memastikan mereka sentiasa berada di tahap terbaik dan tertinggi yang juga mampu membuka laluan buat mereka di pertandingan peringkat antarabangsa.

“Berdasarkan pemantauan saya, pastinya usaha ini akan mendapat sokongan padu penyokong memandangkan kemudahan futsal di Malaysia sangat kukuh,” katanya.

Tambah Ali lagi, antara manfaat lain juga futsal mampu bergerak seiring dengan sukan bola sepak.

“Jika dilihat pada era 70-an kebanyakkan pemain bola sepak Brazil asalnya bermula dengan futsal,” katanya.

FAM secara rasminya melancarkan liga futsal profesional MPFL buat julung kali dan dijadualkan berlangsung April ini.

Pelancaran itu sebagai langkah maju ke depan dalam pertandingan futsal ketika FAM bergerak ke era lebih profesional seiring dengan Peta Hala Tuju F:30.

Sebanyak 10 pasukan kategori lelaki akan mengambil bahagian dan lima untuk saingan wanita.

MPFL akan berlangsung dengan format timbal balik dimana setiap pasukan akan beraksi di gelanggang sendiri dan tempat lawan berbeza dengan temasya sebelum ini.

Selain itu, aspek pelesenan kelab turut diperkenalkan dalam edisi pertama bagi memastikan struktur organisasi mejadi lebih kukuh membabitkan sudut kesukanan, insfrastruktur, kakitangan dan pentadbiran, undang-undang serta kewangan.