Connect with:




All Elite Wrestling (AEW) adalah satu organisasi yang baru sahaja ditubuhkan Januari tahun ini. Organisasi ini ditubuhkan hasil idea daripada Cody Rhodes yang dibantu oleh Matt Jackson dan Nick Jackson (The Young Bucks) yang ingin mengubah dunia.

Sebelum menubuhkan AEW, mereka bertiga telah mengadakan satu acara besar iaitu All In pada September 2018 yang disertai oleh mereka bertiga dan beberapa nama besar ahli gusti seperti Rey Mysterio, Dallas Page, Tommy Dreamer dan Jeff Jarret. Turut menyertai adalah pelakon superhero Arrow, Stephen Amell.

Selepas berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan hasil daripada All In itu, mereka bercadang untuk mempunyai organisasi gusti persendirian. Mereka mendapat tawaran daripada WWE namun mereka menolak tawaran itu. Impian mereka menjadi kenyataan apabila bergabung bersama pemilik Jacksonville Jaguar, Tony Khan dan Shahid Khan.

Kini, AEW telah berjaya menandatangani 50 atlet gusti dari pelbagai arena seperti WWE, Ring of Honour (ROH), Impact Wrestling, Lucha Underground, New Japan Pro-Wrestling (NJPW), Total Nonstop Action (TNA), National Wrestling Alliance (NWA) dan atlet gusti persendirian.

AEW bakal menjadi saingan kepada WWE selepas ramai atlet gusti yang digugurkan oleh WWE telah menyertai AEW. Ramai juga atlet gusti yang dikaitkan dengan AEW selepas kontrak mereka tamat bersama organisasi lain seperti CM Punk dan Dean Ambrose.

AEW akan mengadakan acara terbesar pertama sejak penubuhan iaitu Double or Nothing pada 25 Mei ini. Mereka turut telah menyenaraikan dua lagi acara terbesar untuk tahun ini iaitu Fyter Fest dijangka 29 Jun dan Fight for the Fallen pada 13 Julai.

Antara nama besar ahli gusti yang menyertai AEW selain Cody Rhodes dan The Young Bucks adalah Chris Jericho, Kenny Omega, Pac (menggunakan nama Neville di WWE), Billy Gunn, Adam Page, Brandi Rhodes (isteri Cody) dan Pentagon Jr.

Foto : Sportskeeda