Connect with:




 

Pelumba baharu Russia, Sergey Sirotkin terpaksa ‘bungkus’ seawal pusingan keempat pada penampilan pertamanya dalam Formula Satu (F1) bersama Williams pada Grand Prix (GP) Australia, semalam.

Kegagalannya untuk beraksi cemerlang dipercayai berpunca dari beg plastik yang dibuang oleh penonton.

Pelumba berusia 22 tahun memulakan perlumbaan di petak ke-19 dan hasratnya untuk mencatat keputusan lebih baik terkubur selepas dia dipalit kekecewaan menjadi pelumba pertama menghentikan saingannya musim ini.

Ketua teknikal Williams, Paddy Lowe menjelaskan brek jentera Mercedes itu gagal berfungsi dengan baik.

“Analisis awal kami mendapati beg plastik yang dipungut di atas litar menutup penyejuk brek sepenuhnya sekali gus menyebabkan kegagalan pada litar hidrauliknya.

“Pedal breknya jatuh sehingga ke lantai dan dia terpaksa melalui laluan kecemasan.”

Williams membariskan pelumba termuda dalam F1 dengan seorang lagi pelumba berusia 19 tahun dari Kanada, Lance Stroll memandu satu lagi jentera pasukan itu.

Stroll yang menaiki podium di Azerbaijan pada musim pertamanya tahun lalu menamatkan saingan GP Australia di di kedudukan ke-14.

Sumber: AFP

Foto Kredit: skysports.com