Connect with:




Jika disebut Adidas dan Puma pasti ramai yang mengetahui bahawa itu merupakan dua jenama sukan terkemuka dunia yang menghasilkan pakaian dan kelengkapan untuk pelbagai jenis sukan. Mungkin ramai yang masih belum mengetahui bahawa kedua-dua jenama ini asalnya daripada satu perusahaan adik beradik yang berasal dari Jerman. Tetapi pada suatu hari mereka telah berpecah dan telah menubuhkan label masing-masing.

Sejarahnya bermula apabila seorang pekerja di sebuah kilang kasut, Christoph Von Wilhelm Dassler manakala isterinya, Pauline menjalankan perkhidmatan dobi di Herzogenaurach, Bavaria, Jerman. Mereka mempunyai dua orang anak lelaki yang diberi nama Rudolf ‘Rudi’ Dassler yang bekerja bersama ayahnya di kilang kasut selepas tamat sekolah.

Selepas tamat berkhidmat dalam Perang Dunia Pertama, Rudi ditawarkan jawatan sebagai pengurus di sebuah kilang porselin dan kemudiannya beliau bekerja di sebuah perniagaan borong kulit di Nuremberg, Jerman.

Manakala seorang lagi bernama Adolf ‘Adi’ Dassler, adik kepada Rudi turut terlibat dalam Perang Dunia Pertama tetapi beliau lebih awal tamat perkhidmatan. Kemudian beliau pulang ke Herzogenaurach dan mula menghasilkan kasut sukan sendiri. Pada 1924, Rudi pulang ke kampungnya dan menyertai perusahaan adiknya itu, kemudian mereka menubuhkan Gebrüder Dassler Schuhfabrik (Dassler Brothers Shoe Factory). Perusahaan mereka ini pada mulanya diusahakan dari kedai dobi ibu mereka sahaja.

Tercetusnya konflik adik beradik Dassler

Persengketaan antara adik beradik ini bermula pada era Perang Dunia Kedua. Pada ketika 1930-an, nama dan perjuangan Adolf Hitler semakin berkembang. Maka Adi dan Rudi telah menyertai Parti Nazi, tetapi apa yang membezakan antara dua beradik ini adalah Rudi dilihat lebih taksub berbanding dengan adiknya, Adi.

Setelah itu, Rudi ditahan oleh pihak tentera Amerika Syarikat kerana beliau disyaki menjadi ejen dalam perkhidmatan perisikan iaitu pegawai Schutzstaffen (SS), organisasi separa tentera di bawah kepimpinan Adolf Hitler dan Parti Nazi. Manakala Adi masih menghasilkan kasut untuk pasukan tentera sebelum dia mengambil keputusan keluar daripada Parti Nazi. Oleh kerana itu, Rudi percaya penahanannya disebabkan seseorang telah membocorkan maklumat dan beliau percaya orang itu adalah adiknya, Adi.

Selain itu, terdapat juga teori mengatakan bahawa antara punca permusuhan ini adalah Rudi yang mempunyai perwatakan lebih menarik berbanding Adi dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri Adi, iaitu Käthe.

Malah dikatakan juga semasa dalam Parti Nazi, Adi yang menghasilkan kasut untuk tentera membuat keputusan untuk keluar parti dan kemudiannya menghasilkan kasut buat pelari pecut Amerika Syarikat, Jesse Owens pada Sukan Olimpik Berlin 1936. Hal ini telah mengejutkan ramai pihak kerana semasa pemerintahan Adolf Hitler yang mengamalkan dasar perkauman yang melampau. Malah Hitler tidak mengucapkan tahniah dan meninggalkan stadium selepas Owens merangkul empat emas dan menjadi bintang kejohanan tersebut.

Pengasas Adidas, Adolf ‘Adi’ Dassler

Dikhabarkan juga, sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua pada 1943, sewaktu serangan bom yang dilakukan oleh Tentera Perikatan ke atas Herzogenaurach. Satu insiden tegang berlaku antara adik beradik ini apabila Rudi mendakwa Adi telah menghina beliau dan isterinya hendak berlindung di sebuah kubu.

Ketika waktu itu, Adi melemparkan kata-kata seperti “The dirty bastards are back again”. Menurut Adi, kata-kata beliau itu dilemparkan kepada pesawat-pesawat Tentera Perikatan tetapi Rudi percaya Adi menujukan kata-kata tersebut kepada beliau.

Persengketaan adik beradik ini berterusan sehinggalah menyebabkan perusahaan mereka tubuhkan bersama sebelum ini berakhir pada 1947. Rudi kemudiannya menubuhkan satu jenama baru dengan nama ‘Ruda’ yang diambil dari awalan nama beliau Rudolf Dassler sebelum dijenamakan semula sebagai Puma. Manakala Adi juga turut menamakan semula dengan nama ‘Adidas’ yang juga diambil dari awalan nama beliau Adi Dassler yang secara rasmi didaftarkan pada 18 Ogos 1949.

 

Bermulanya persaingan Adidas dan Puma

Pada ketika itu, kedua-dua jenama ini bertapak di Herzogenaurach, Jerman, sehingga bandar ini digelar ‘The Town Of Bent Necks’ merujuk kepada orang tempatan yang akan melihat kasut apa yang dipakai oleh orang luar apabila mereka datang ke bandar tersebut. Persaingan antara dua beradik ini bersaing dengan sengit terutamanya dalam menandatangani perjanjian penajaan dengan atlet-atlet terkemuka dunia.

Kelebihan Ruda mempunyai strategi jualan yang jauh lebih baik berbanding adiknya, tetapi Adi mempunyai pengetahuan teknikal dan hubungan yang rapat dengan atlet. Oleh itu, produk beliau mendapat publisiti yang meluas dan ini memberi skala yang lebih luas kepada peningkatan Adidas.

Pengasas Puma, Rudolf ‘Rudi’ Dassler

Ketika Sukan Olimpik Berlin 1936, Adi berjaya membawa kasut rekaannya untuk menaja dan dipakai oleh pelari pecut Amerika Syarikat, Jesse Owens. Malah penajaan tersebut merupakan tajaan pertama terhadap seorang atlet kulit hitam Amerika. Dalam kejohanan itu, Owens berjaya merangkul empat pingat emas, maka reputasi kasut Dassler terus meningkat secara mendadak. Permintaan terhadap kasut buatan mereka meningkat hampir 200,000 pasang kasut terjual setiap tahun sebelum Perang Dunia Kedua.

Persaingan mereka juga diaplikasikan dalam bola sepak apabila dua kelab bola sepak bandar tersebut turut menjadi seteru antara satu sama lain. ASV Herzogenaurach menyokong Adidas kerana ditaja oleh Adidas manakala 1. Fc Herzogenaurach pula memakai but rekaan Rudi berjenama Puma.

Selepas tamat perang dunia kedua iaitu pada tahun 1948, beberapa pemain kebangsaan Jerman Barat telah memakai but Puma termasuklah penjaring perlawanan, Herbert Burdenski. Seterusnya pada Sukan Olimpik Helsinki 1952, pelari Josy Barthel berjaya memenangi pingat emas dalam acara 1500m dan ia merupakan pingat Olimpik pertama Puma.

Manakala pada Sukan Olimpik Rom 1960, Puma telah membayar pelari pecut Jerman, Armin Hary untuk memakai kasut Puma dalam acara akhir 100m. Oleh kerana, Hary ketika itu telah memakai kasut jenama Adidas dan meminta bayaran daripada Adidas tetapi Adi menolak permintaan tersebut. Pada acara akhir tersebut, Hary telah memakai kasut Puma dan berjaya memenangi pingat emas tetapi ia menjadi kontroversi kerana Hary ibarat ‘menduakan’ Puma kerana melibatkan Adidas ketika penyampaian pingat. Sebenarnya Hary ingin meminta bayaran daripada kedua-dua jenama tersebut tetapi dia telah diboikot oleh Adi.

Logo Adidas

Selain itu, Adidas juga telah berjaya mendapatkan perjanjian penajaan antaranya Muhammad Ali (Tinju), Lionel Messi, Zinedine Zidane, David Beckham dan Franz Beckenbauer (Bola Sepak) dan nadia Comaneci (Gimnastik).

Manakala Puma pula berjaya menandatangani Usain Bolt (Pelari pecut), Pele, Diego Maradona, Eusebio dan Johan Cruyff (Bola Sepak), Boris Becker, Martina Navratilova dan Serena Williams (Tenis), Johnny Damon (Besbol), Erica Blasberg (Golf) dan skuad Piala Dunia Itali 2006.

Pada 1974, Rudi telah meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada usia 76 tahun dan adiknya Adi meninggal pada 1978 ketika berusia 77 tahun. Mereka tidak pernah berdamai walaupun diletakan di perkuburan yang sama, mereka ditanah sejauh yang mungkin antara satu sama lain.

Logo Puma

Selepas 60 tahun perseteruan Adidas dan Puma, akhirnya pada 21 September 2009 persengketaan ini diselesaikan selepas kematian Rudi dan Adi apabila pekerja kedua-dua syarikat telah mengadakan satu perlawanan bola sepak persahabatan sekaligus menamatkan permusuhan selama 6 dekad.

Perlawanan persahabatan tersebut adalah pertama kali dianjurkan oleh Adidas dan Puma sejak Rudi dan Adi berpecah pada 1948. Tambah menarik, cucu Rudolf, Frank A. Dassler turut bekerja untuk kedua-dua Syarikat Adidas dan Puma.

Meskipun permusuhan dan perseteruan antara satu sama lain dilihat sesuatu yang negatif terutamanya antara adik beradik tetapi apa yang berlaku kepada Rudi dan Adi ini sangat berbeza. Permusuhan mereka telah berjaya mempopularkan bandar kecil bernama Herzogenaurach, berjaya mencipta peluang pekerjaan dan berjaya melonjakkan produk keluaran mereka seperti yang kita kenali hari ini Adidas dan Puma. – Qoura