Connect with:




adidas Malaysia hari ini mengalu-alukan penganjuran ‘Run For The Oceans’ untuk kali kali kedua berturut-turut. Acara larian sejauh 5KM itu, kali ini dianjurkan secara eksklusif oleh adidas Runners Kuala Lumpur (ARKL). Duta-duta tempatan adidas, komuniti pelari serta rakan-rakan media dijemput untuk menyertai acara yang penuh bersemangat lagi bermakna ini.

“Gerakan ‘Run For The Oceans’ diadakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai ancaman pencemaran plastik di lautan, dan kami amat teruja kerana ARKL telah menerajui gerakan berkenaan di Malaysia. adidas bekerjasama dengan Parley for the Oceans kerana kami memahami betapa rapuhnya lautan kita dan kami akan melakukan segala yang terdaya untuk membawa kesedaran itu ke Kuala Lumpur untuk tahun yang kedua berturut-turut,” kata Ketua Pemasaran adidas Malaysia, David Wong.

“Kami percaya bahawa sukan mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan dan kesannya dapat dilihat pada hari ini. ARKL bertindak sebagai sebuah platform yang memberi peluang kepada pelari yang sependapat dengan kami untuk menyertai gerakan larian bagi menentang pencemaran plastik di lautan,” tambah beliau lagi.

Gerakan Global ‘Run For The Oceans’
Bermula pada 8 Jun hingga 8 Julai, adidas berjanji untuk menyumbang AS$1 untuk setiap kilometer larian yang direkodkan dalam aplikasi telefon pintar Runtastic bagi 1 juta kilometer pertama. Sumbangan berkenaan akan digunakan untuk membantu inisiatif Parley Ocean School dalam usahanya mendidik generasi akan datang mengenai sumber air yang luas di dunia ini dan mengajar mereka tentang impak pencemaran plastik di lautan. Untuk menyumbang, para pelari hanya perlu menyertai komuniti adidas Runners di bandaraya masing-masing dan memulakan larian selepas mendaftar sebagai peserta gerakan adidas x Parley Run For The Oceans.

‘Run For The Oceans’ di Kuala Lumpur

Sebagai sebahagian daripada rangkaian global adidas Runners, kempen berkenaan telah berjaya mengilhamkan pelari-pelari di seluruh dunia agar memberikan impak postif kepada lautan kita. ‘Run For the Oceans’ di Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada kesinambungan kerjasama panjang antara adidas dan Parley, dan penganjuran acara larian sejauh 5KM ini diikuti dengan persembahan live serta pameran kesenian yang diilhamkan oleh gelombang yang diperbuat daripada bahan-bahan kitar semula, mewakili jenis-jenis plastik yang sering dibuang oleh manusia hingga mengakibatkan pencemaran laut.

Bukan sekadar larian biasa, acara berkenaan merupakan jemputan untuk menyertai gerakan global serta simbol kesatuan dan tindakan yang bakal memacunya ke hadapan. 250 pelari dari kalangan ahli komuniti ARKL telah menyertai acara ‘Run For The Oceans’ yang diadakan di Eco Ardence, Setia Alam bagi menyatakan sokongan mereka dan pada masa sama merekodkan larian keseluruhan sejauh lebih 1,250KM menggunakan aplikasi telefon pintar Runtastic.

Larian sejauh 5KM pada hari ini diketuai oleh kapten ARKL, Azwan Bunjing dan Fatin Nabila. Ramai duta tempatan adidas seperti personaliti internet Reuben Kang, pelakon Sharifah Sakinah, atlet negara Ooi Tze Liang dan Zoe Bowden turut dilihat menyertai gerakan berkenaan. Para pelari turut berpeluang untuk mencuba kasut edisi terhad UltraBOOST Parley yang kini boleh didapati di adidas.com.my dan di butik-butik adidas Sports Performance terpilih.