Connect with:




Musim baru liga-liga antarabangsa bakal bermula tidak lama lagi dan jenama terkemuka dunia iaitu Adidas tidak mahu terlepas dari memperkenalkan koleksi mereka yang terbaharu diberi nama ‘Team Mode’.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Football Republic Suria KLCC itu dihadiri oleh dua pemain profesional tajaan Adidas iaitu Jafri Firdaus Chew (PKNS) dan Muhammad Shahrom Kalam (Felcra FC). Turut diraikan di majlis ialah 3 pemain bawah umur daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang bermain bersama kelab Paris Saint Germain (PSG) iaitu Hazriq Haqqim Mohd Izham, Rohisham Haiqal Hashim dan Mohammad Haykal Danish.

Koleksi ‘Team Mode’ kali ini datang dengan 4 model iaitu Copa 18 (putih biru), X18+ (hijau flouresen), Predator18+ (hitam merah) dan Nemeziz18+ (biru). Menurut Shahrom, warna reka bentuk bagi model X18+ kali ini lebih berbeza dan mempunyai warna yang lebih menarik.

” Sepanjang saya menggunakan Adidas, model X tidak pernah mengecewakan dari segi berat dan kepadatan material kasut. Hal ini memberikan kelebihan kepada saya terutama ketika hendak mengambil sepakan penalti,” ujar ketua pasukan The Rivals itu.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Jenama dan Pemasaran Sukan Adidas Malaysia Cheng Yik Hoong pula berkata Adidas sentiasa menghargai pemain-pemain muda negara yang mempunyai bakat besar dalam bola sepak.

” Melalui teknologi yang ada pada but keluaran Adidas kali ini, kami berharap ia akan memberikan keselesaan dan ‘kuasa’ kepada pemain-pemain muda negara ini sekaligus memantapkan permainan mereka,” ujar Yik Hoong.

Empat variasi kasut bola sepak kali ini sudah boleh mula didapati secara ekslusif di Football Republic, Suria KLCC.