Connect with:




Mohd Adib Rosley tidak akan memandang mudah saingan kelas CP115 apabila bakal beraksi dalam kategori tersebut di pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 di Jasin, Melaka pada 23 dan 24 Mac ini.

Setelah beberapa musim beraksi dalam kelas perdana CP130 dan CP150, pelumba Motul Yamaha YY Pang itu bakal beraksi dalam kategori CP115 dan tempatnya digantikan oleh juara CP115 musim lalu, Tengku Amirul Haffirudin yang akan bergandingan bersama Md Izzat Zaidi dan Md Azhar Abd Jalil di dalam kelas CP150.

Sementara itu Adib akan bergandingan bersama Md Fareez Afeez Abd Rahman dan Md Khairi Asyraf Mahmood dalam misi untuk mengekalkan gelaran individu dan berpasukan yang dimenangi pada musim lepas.

“Saya tidak boleh memandang mudah saingan kelas CP115 ini hanya kerana saya beraksi dalam kelas CP150 sebelum ini. Cabarannya tidak kurang hebat terutama dengan kehadiran pelumba-pelumba muda yang pantas dan agresif,” jelas juara WIRA 2010 itu.

Tambahnya, “Pada masa sama, saya bukan menanggap perubahan kelas ini sebagai ‘turun pangkat’ kerana pasukan mempunyai strategi tersendiri terutama dalam misi kami untuk mengekalkan gelaran keseluruhan yang dimenangi pada musim lepas.

“Saya akan memberikan yang terbaik dan pada masa sama akan membimbing dan mengatur strategi bersama Fareez dan Khairi Asyraf supaya dapat menghadiahkan podium kepada pasukan di Jasin minggu ini.”