Connect with:




Awal minggu lalu, penganjur bagi pertarungan tinju ‘Fight of Champions’ melibatkan Manny Pacquiao dengan Lucas Mathysse iaitu MPKL Promotions akhirnya mengumumkan harga tiket bagi acara tersebut yang akan berlangsung di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 15 Julai nanti.

Tiket paling murah yang boleh didapatkan dalam acara ini adalah kategori bronze iaitu serendah RM488. Sementara itu, bagi yang mahukan pengalaman berada di tepi kotak gelanggang (ring), tiket VVIP adalah jawapannya. Harga bagi kategori ini adalah RM 19888.


Selepas pengumuman tersebut, rata-rata terkejut dengan harga yang dijual.

Satu perkara harus disedari peminat sukan di Malaysia – tiket acara tinju SEMEMANGNYA MAHAL. Mungkin ia sedikit mengejutkan buat peminat di Malaysia kerana sudah lama acara tinju sebegini besar tidak diadakan di negara kita.

Setakat ini, tiket pertarungan Floyd Mayweather menentang bintang UFC, Connor McGregor masih mendahului senarai harga tiket tinju termahal iaitu USD 110373 bersamaan RM 440226. Dengan harga tiket ini, anda mampu membeli sebuah rumah secara tunai. Tiket termurah untuk pertarungan ini dijual dengan harga USD 2000 (RM 8000).

Mayweather turut bertarung dalam dua aksi tinju yang cukup mahal iaitu menentang Canello Alvarez pada 2013 (USD 31000 / RM 12300) dan menentang Manny Pacqiao (USD 41000 / RM 162775) pada 2015 untuk kategori tiket paling mahal.

Pertarungan melibatkan jaguh tinju British, Antony Joshua dengan Wladimir Klitschko juga tidak kurang hebatnya. Diadakan di Stadium Wembley, England, penonton ditawarkan tiket termurah berhara sekitar RM 535 untuk tempat duduk yang cukup jauh dari pentas utama. Bagi tiket paling mahal pula, ia dijual sekitar RM 186378 iaitu tempat duduk di sebelah gelanggang.

Berdasarkan statistik ini, jelas sekali tiket pertarugan Pacquiao-Mathysse tidaklah semahal pertarungan-pertarungan utama yang lain walaupun nama Pacquiao masih cukup besar dalam arena tinju.

Selain perebutan takhta welterweight WBO dunia antara Pacquiao dan Mathysse, ‘Fight of Champions’ turut akan menampilkan beberapa pertarungan lain termasuk melibatkan petinju negara antaranya Farkhan Haron, Theena Tayalan dan Aiman Abu Baker.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan tiket ‘Fight Of Champions’, sila kunjungi laman web myticket.asia