Connect with:




Sejak kebelakangan ini permainan gasing moden atau lebih popular dipanggil ‘beyblade’ kini menjadi satu fenomena dalam kalangan kanak-kanak dan semakin mendapat perhatian. Sehinggakan kanak-kanak sanggup menggunakan pekakas memasak ibu mereka untuk dijadikan stadium perlawanan bersama rakan-rakannya.

Harga satu gasing tersebut sekitar RM15 – RM30 dan ada harga yang lebih tinggi daripada itu, kanak-kanak sanggup kumpul duit sekolah setiap hari hanya untuk membeli permainan tersebut. Ia juga salah satu perkara positif bagi kanak-kanak untuk memupuk sikap menabung.

Permainan gasing moden ini menjadi kegilaan ramai kanak-kanak sejak kemunculan rancangan kartun ‘Beyblade Burst’ terbaru yang berasal dari Jepun. Sebenarnya permainan gasing moden ini pernah menjadi kegilaan bagi kanak-kanak yang lahir pada zaman 1990-an dahulu dengan kemunculan rancangan kartun seperti Beyblade V-Force pada 2002 dan Beyblade G-Revolution pada 2003.

Rancangan kartun Beyblade Burst

Set permainan Beyblade

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Permainan gasing moden ini yang semakin menjadi perhatian, sehinggakan Beyblade Malaysia akan mengadakan pertandingan Kelayakan Kejohanan Asia 2019 bagi mencari wakil Malaysia untuk ke Korea Selatan pada 20-21 April 2019 bertempat di The Starling Mall, Uptown Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Kelayakan kejohanan tersebut terbuka kepada kanak-kanak berumur 6-12 tahun yang lahir diantara 20 April 2006 hingga 19 April 2013. Untuk mendaftar hanya dengan mengisi borang atau imbas kod QR dengan menekan link ini https://bit.ly/2U1xnrg .

Walaupun kemunculan gasing moden ini, diharap masyarakat moden kini tidak akan mematikan warisan nenek moyang kita dalam permainan tradisional iaitu permainan gasing tradisional. Pernahkah masyarakat sekarang terutamanya kanak-kanak mengetahui sejarah gasing di Malaysia? Sepatutnya kita harus berbangga kerana mempunyai warisan yang sangat bernilai ini.

Asal-usul permainan gasing tradisional

Permainan gasing merupakan permainan tradisional yang dimainkan sejak sekian lama di Malaysia. Permainan gasing tradisional ini mungkin ramai yang masih tidak mengetahui oleh kebanyakan masyarakat zaman sekarang terutamanya kanak-kanak yang lebih mengenali permainan gasing moden seperti ‘beyblade’ itu.

Permainan gasing tradisional diyakini merupakan salah satu jenis permainan yang dikatakan sangat berusia dan telah berzaman dimainkan oleh orang terdahulu. Oleh itu, tidak ada maklumat yang sah yang dapat menyakinkan sejarah awal permulaaan permainan gasing tradisional ini di Malaysia.

Gasing Tradisional
Foto: MOTAC

Walaupun permainan gasing tradisional ini masih menjadi persoalan sehingga kini tentang asal usulnya, tetapi para pengkaji percaya bahawa permainan gasing ini merupakan permainan tradisional dari Asia, terumatanya dari daerah Melayu seperti Malaysia, Indonesia dan sekitarnya. Mereka juga menyakini bahawa bangsa Melayu yang telah mencipta permainan gasing yang kita kenal sampai ke hari ini.

Selain Malaysia, permainan gasing ini juga turut terdapat di negara Asia lain seperti Jepun, Taiwan, China dan Vietnam. Malah benua Eropah juga turut mempunyai permainan yang menyerupai permainan gasing seperti Jerman, Perancis, Sepanyol, Itali dan Belgium.

Permainan gasing sangat popular terutamanya dalam kalangan penduduk Melayu di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu. Kebiasaannya sering dimainkan pada waktu lapang untuk menghiburkan hati setelah berpenat lelah bekerja di sawah atau di laut. Malah permainan gasing juga turut dimainkan dalam majlis diraja pada abad ke-17.

Permainan gasing mempunyai pelbagai bentuk dan nama mengikut kawasan tertentu sebagai contoh di Kelantan dikenali sebgai Gasing Timah dan Gasing Leper serta di Kedah pula terkenal dengan Gasing Paku.  Manakala Masyarakat di Sabah dan Sarawak memanggilnya sebagai Gasing Lundu, Gasing Pontianak, Gasing Borneo dan sebagainya. terdapat juga nama seperti Gasing Toyol, Gasing Begelan, Gasing Kuno, Gasing Lang Laut dan sebagainya. Cara permainan gasing ini tidak jauh bezanya antara kawasan berlainan, cuma yang membezakannya adalah dari segi bentuk dan saiznya sahaja.

 

Cara permainan gasing tradisional sebenarnya tidaklah susah, pemain perlu melilitkan tali secara teratur pada tangkai atau leher gasing, kemudian melemparkan gasing itu dengan pantas sambil menarik talinya. Maka gasing akan jatuh ke tanah dan berputar dengan lajunya. Lebih menarik sebuah gasing sempurna mampu berputar dalam tempoh masa 10 hingga ke 15 minit bagi sekali balingan semasa permainan.

Namun kini gasing amat jarang ditemui atau dimainkan kecuali pada sesuatu majlis tertentu termasuklah pelbagai expo dan aktiviti pelancongan sebagai daya tarikan pengunjung ataupun terdapat pertandingan antara negeri ataupun negara di kawasan tertentu seperti Pertandingan Gasing Kelantan VS Terengganu pada 2017.

Pertandingan gasing suatu ketika dahulu
Foto: MOTAC

Selain untuk pertandingan atau pertunjukkan, permainan gasing turut dijadikan sebagai kraf tangan hiasan atau cenderamata. Harga sebuah gasing dijual pada harga serendah RM5 dan boleh mencapai ratusan ringgit bergantung kepada saiz, bahan dan nilai seni pembuatannya.

Sejarah dan keunikan permainan tradisional Melayu kita seperti gasing ini adalah salah satu warisan budaya nenek moyang dan kita wajib mempertahankannya. Sekarang ini kita sudah semakin jarang melihat permainan gasing tradisional dimainkan, jika ada sekalipun ia hanyalah satu pertandingan terpencil serta hanya dimainkan kebanyakannya oleh ‘orang lama’. Permainan tradisional ini harus dipertahankan supaya terus menjadi warisan bangsa yang amat bernilai.

Foto: MOTAC